
Hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian pelakon dan penyair versatil tanah air, Mohd Supyan Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib Rahman.
Allahyarham meninggal dunia di rumahnya yang terletak di AU4 Keramat, Kuala Lumpur pada malam tadi kira-kira jam 9.30 malam.
Menurut laporan Buletin TV3, isterinya, Zurina Zakaria berkongsi saat-saat akhir bersama suaminya itu dan sempat membimbing suami melafazkan dua kalimah syahadah sambil merelakan pemergiannya.
“Saya sempat ajar mengucap (dua kalimah syahadah) dan minta maaf dekat suami. Masa itu, saya cakap, kalau hendak pergi, pergilah, nanti saya menyusul. Selepas saya cakap, air mata dia kering dan perlahan-lahan mata tertutup.
“Saya gembira dan bersyukur sebab dapat bersama suami pada saat akhir, ini yang saya tidak akan lupakan. Selepas dia meninggal dunia, ramai sangat orang datang.
“Rupanya-rupanya dekat luar memang ramai orang sayang dia,” katanya.
Dia juga berkongsi keadaan Allahyarham Pyanhabib sebelum menghembuskan nafas terakhir, di mana dia memberitahu arwah tidak sakit, cuma bengkak di bahagian kaki, mata hilang penglihatan dan terjatuh dalam bilik air.
Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.
Al-Fatihah…
Sumber: Buletin TV3
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


