KOTA KINABALU - Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan itu perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi berbanding ketika ini.
"Beberapa keputusan yang biasa kita percepatkan, tetapi yang agak utama adalah keputusan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih daripada sepertimana yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia, MA63.
"Penambahan itu mesti juga melibatkan ratio Sabah-Sarawak itu lebih tinggi. Yang ini kena faham, penambahan Ahli Parlimen itu wewenang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Anwar berkata, kemungkinan berlaku penambahan kerusi di Semenanjung juga tidak boleh diketepikan, namun ia tidak boleh menjejaskan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan daripada kedudukan sekarang.
Beliau merujuk kedudukan ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang menyaksikan Singapura, Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya mempunyai satu pertiga daripada perwakilan.
"Maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak, tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip ratio perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang.
"Walaupun dalam Perjanjian MA63 itu dengan penyertaan Singapura, dia satu pertiga daripada Singapura, Sabah, Sarawak. Sekarang ini tentunya kurang," jelasnya.
Menurut Anwar, wakil Sabah dan Sarawak seterusnya akan mengadakan rundingan bersama parti-parti di Semenanjung berhubung perkara itu.
Katanya, prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak telah dipersetujui lebih awal oleh Jemaah Menteri sebelum diluluskan pada mesyuarat Kabinet dengan mengambil kira peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah.
"Penambahan itu boleh jadi mengelirukan, tambah tak bermakna dia mungkin hanya 'equalize' sepertimana yang ada.
"Jadi penambahan dengan peningkatan ratio penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama yang penting," katanya.
Ketika ditanya sama ada jumlah perwakilan Sabah dan Sarawak disasarkan sehingga 40 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen, Anwar berkata, kerajaan belum menetapkan angka berkenaan.
Sebaliknya, beliau sekali lagi merujuk kedudukan pada 1963 yang melibatkan Singapura dengan perwakilan satu pertiga dan berkata mekanisme pelaksanaannya perlu diperhalusi.
"Prinsipnya mesti ada penambahan yang akan meningkatkan ratio perwakilan. Itu kita sudah persetujui, tetapi sudah tentu perincian dan mekanismenya perlu dibincangkan dengan SPR, negeri-negeri serta parti-parti yang terlibat," katanya.
Sebelum itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.






