liza26/10/2026 - 12:41 Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Formula pengagihan peruntukan pembangunan antara negeri perlu dikaji semula supaya lebih telus, konsisten dan berasaskan keperluan sebenar, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, cadangan formula penyamarataan fiskal dan pembangunan antara negeri itu bertujuan memastikan setiap negeri mempunyai peluang lebih adil untuk membangunkan keupayaan ekonomi masing-masing, tanpa dipengaruhi pertimbangan politik.
Menurutnya, formula sedia ada perlu dinilai semula berdasarkan perubahan keperluan pembangunan negeri selepas struktur pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri dibentuk pada 1957.
“Tujuan cadangan formula penyamarataan fiskal dan pembangunan antara negeri ini adalah untuk menjadikan pengagihan peruntukan pembangunan lebih telus, konsisten dan responsif terhadap keperluan sebenar,” katanya dalam ucapan pembukaan bertajuk ‘SG4 Memacu Malaysia ke Arah Sempadan Ekonomi Baharu: Ke Arah Model Ekonomi Malaysia yang Adil dan Maju’.
Pengagihan peruntukan perlu berdasarkan keperluan
Ahmad Samsuri berkata, pengagihan sumber negara perlu mengambil kira keupayaan setiap negeri untuk membangunkan ekonomi masing-masing, selain memastikan keputusan berkaitan pembangunan tidak dijadikan alat politik.
Beliau turut merujuk pengalaman Australia, Jerman dan Kanada yang telah membangunkan formula penyamarataan fiskal sebagai antara rujukan untuk menilai pendekatan yang lebih sesuai bagi Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu bukan bertujuan membolehkan negeri bergerak secara bersendirian tanpa sokongan kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, kerjasama antara kedua-dua peringkat kerajaan perlu diteruskan bagi membolehkan negeri menyumbang dengan lebih berkesan kepada keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi negara.
SG4 mahu manfaat pembangunan dinikmati rakyat
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, pembangunan ekonomi perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar kepada rakyat, bukan semata-mata melalui angka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), jumlah pelaburan atau prestasi eksport.
Beliau berkata, kejayaan ekonomi sepatutnya turut diukur melalui peningkatan pendapatan keluarga, peluang pekerjaan yang bermakna untuk golongan muda serta keupayaan perniagaan tempatan untuk berkembang dan bersaing.
Menurutnya, pelaburan bernilai besar tidak semestinya menjamin manfaat kepada masyarakat tempatan sekiranya pekerja masih menerima gaji rendah dan perusahaan tempatan tidak mendapat peluang menyertai rantaian bekalan industri.
Justeru, beliau berkata, negeri perlu memperkukuh keupayaan untuk menukarkan sumber dan peluang pelaburan kepada industri produktif yang memberikan nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

Kerjasama empat negeri jadi platform pembangunan
Ahmad Samsuri berkata, kerjasama melalui SG4 yang merangkumi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis boleh menjadi platform untuk menggabungkan kekuatan ekonomi setiap negeri.
Terengganu mempunyai keupayaan dalam sektor petroleum dan gas, petrokimia, industri berat, maritim dan pelancongan, manakala Kelantan menawarkan peluang dalam industri berasaskan pertanian, industri halal, warisan, pelancongan dan perdagangan rentas sempadan.
Kedah pula mempunyai kekuatan dalam pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor, pertanian dan logistik, sementara Perlis mempunyai kedudukan strategik bagi perdagangan sempadan, tenaga boleh baharu dan industri berasaskan pertanian.
Menurutnya, kerjasama rentas negeri perlu memberi tumpuan kepada penyelarasan peluang ekonomi, penyelesaian halangan pelaksanaan serta usaha membantu firma tempatan menyertai rantaian bekalan serantau.
Perusahaan tempatan tidak boleh diketepikan
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan pihak antarabangsa perlu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, termasuk Malaysia dan perusahaan tempatan.
Katanya, perjanjian ekonomi tidak seharusnya mengabaikan perniagaan tempatan, sebaliknya perlu membuka ruang kepada mereka untuk berkembang dan bersaing pada peringkat global.
Pada masa sama, pembangunan ekonomi perlu memastikan graduan muda memperoleh peluang kerjaya yang bermakna, perniagaan kecil berpeluang menjadi pembekal kepada industri besar, manakala petani dan nelayan mendapat akses pasaran serta pendapatan yang lebih baik.
“SG4 boleh menyumbang kepada ekonomi negara dengan membangunkan keupayaan sendiri dan menghubungkannya secara lebih berkesan dengan ekonomi nasional,” katanya.
Beliau menggesa cadangan berkenaan diteliti melalui kajian serius, dialog membina dan kerjasama praktikal bagi mencari penyelesaian yang memberikan manfaat bersama kepada negeri, perusahaan tempatan dan syarikat yang lebih besar. - DagangNews.com






