
KUALA LUMPUR: Empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau State Government 4 (SG4) berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi baharu negara menerusi gabungan sumber, keluasan wilayah dan kekuatan penduduk.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gabungan kerajaan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu disifatkan sebagai ‘gergasi tidur’ yang mampu berkembang menjadi zon ekonomi produktif sekiranya segala potensi dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata, SG4 mempunyai lebih 5.7 juta penduduk dan keluasan tanah melebihi 38,000 kilometer persegi, sekali gus menyediakan asas untuk memperluas kegiatan ekonomi melalui kerjasama antara negeri.
“Sejak SG4 diilhamkan dan direalisasikan, pemimpin negeri ini semakin sedar potensi mereka miliki serta sejauh mana jangkauan boleh dicapai.
“Sekiranya empat negeri ini dapat menyatukan tenaga, menggabungkan sumber dan saling melengkapi, slogan ‘the sky is the limit’ (tiada batasnya) bukan lagi sekadar kiasan.
“SG4 mempunyai saiz, kawasan, rakyat dan infrastruktur cukup untuk berkembang menjadi zon ekonomi yang produktif serta menguntungkan,” katanya berucap pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan Dr. Mahathir dibacakan anaknya, Tan Sri Mokhzani memandangkan beliau belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.
Dr. Mahathir yang juga Ketua Panel Penasihat SG4 berkata, kekayaan unsur nadir bumi (REE) di empat negeri berkenaan perlu diurus menerusi perancangan strategik supaya mampu menjana pulangan lebih besar kepada negeri dan rakyat.
Kata beliau, usaha mendapatkan hasil segera melalui pengekstrakan dan penjualan bahan mentah perlu disusuli strategi menambah nilai mineral berkenaan bagi meningkatkan pendapatan negeri secara mampan.
“Isu utama sekarang bukan sekadar mengekstrak dan menjual bahan mentah secara terus untuk hasil serta-merta bagi mengisi kantung negeri.
“Sebaliknya, perancangan perlu dibuat untuk menambah nilai kepada mineral ini bagi melipatgandakan hasil pendapatan negeri. Hanya dengan cara ini projek berkenaan menjadi mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau turut memuji usaha kepimpinan SG4 yang mula beralih daripada kegiatan ekonomi tradisional kepada sektor baharu bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menolak persepsi bahawa masyarakat Melayu-Islam di empat negeri berkenaan kurang berdaya saing atau tidak berkebolehan dalam bidang perniagaan.
Sebaliknya, beliau berkata, ramai usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat berasal dari negeri-negeri SG4.
“Jika perbandingan dibuat mengikut sempadan, ia mungkin kelihatan sedemikian. Namun, jika dilihat daripada sudut rakyatnya, usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya terdiri daripada anak-anak jati negeri SG4.
“Orang Melayu sebenarnya berada pada posisi terbaik untuk menjadi peniaga hebat kerana dibimbing oleh ajaran Islam. Islam sentiasa mengingatkan balasan berat bagi mereka yang menipu atau mencuri, dan kejujuran adalah nilai tertinggi. Kebersihan juga adalah asas kehidupan Muslim,” katanya. – UTUSAN
The post Negeri SG4 `gergasi tidur’, bakal gegar ekonomi negara – Tun M appeared first on Utusan Malaysia.






