KANGAR – Kerajaan Perlis mengekalkan dasar membendung aktiviti perjudian di negeri itu walaupun terdapat perkembangan terbaharu membabitkan keputusan mahkamah berhubung pembaharuan lesen premis pertaruhan loteri berlesen di Kedah.
Menteri Besarnya, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan berkaitan keputusan mahkamah itu sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan susulan yang diperlukan.
Menurutnya, usaha yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu untuk menghadkan dan menghentikan operasi premis perjudian serta hiburan di negeri ini memberi kesan positif dalam usaha menangani gejala perjudian dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan negeri komited untuk menyambung usaha yang dibuat oleh mantan Menteri Besar dahulu dengan menghadkan ataupun menghentikan operasi kedai-kedai judi dan kedai-kedai hiburan yang dianggap menyalahi hukum serta peraturan dalam Islam,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini.
Abu Bakar menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk meneruskan usaha membendung aktiviti perjudian di Perlis tidak berubah walaupun berlaku perkembangan undang-undang di negeri lain.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan syarikat pengendali loteri terhadap keputusan Kerajaan Kedah yang enggan memperbaharui lesen premis pertaruhan loteri berlesen atas alasan moral.
Sebagai rekod, Kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Di Perlis pula, dasar tidak memperbaharui lesen premis perjudian dilaksanakan secara berperingkat sehingga menyaksikan premis perjudian terakhir di negeri itu menamatkan operasi pada Mac 2024.





