[VIDEO] Kita akan terus berdiri di bawah penyatuan PN - MB Perlis

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Kita akan terus berdiri di bawah penyatuan PN - MB Perlis
Image from: [VIDEO] Kita akan terus berdiri di bawah penyatuan PN - MB Perlis
Abu Bakar Hamzah

KANGAR – Kerajaan negeri Perlis akan terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan terpengaruh dengan sebarang spekulasi berhubung hubungan antara parti-parti komponen gabungan berkenaan.

**media[3540018]**

Menurut Menteri Besarnya, Abu Bakar Hamzah, mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah kepada PN dan bukan kepada mana-mana parti secara berasingan di negeri ini.

“Kita akan terus berdiri di bawah penyatuan PN. Biar apa yang berlaku antara Pas, Bersatu dan komponen lain, kita akan kekal tenang bersama PN kerana kita mendapat mandat rakyat melalui PN.

“Bukan kita mendapat mandat daripada Bersatu atau Pas secara berasingan, sebaliknya rakyat memilih PN untuk mentadbir negeri ini,” katanya mengulas perkembangan semasa politik melibatkan PN serta spekulasi mengenai hubungan antara Pas dan Bersatu pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini.

Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbiran negeri diteruskan sehingga penghujung tempoh DUN Perlis ke-15.

Menurutnya, penggal semasa DUN Perlis hanya akan berakhir pada Disember 2027 memandangkan negeri itu mengadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

“Titah Tuanku jelas bahawa pentadbiran ini perlu diteruskan sehingga tamat tempoh. Jadi kita masih mempunyai masa sehingga Disember 2027 untuk melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.

“Saya tidak akan membuat apa juga spekulasi atau keputusan yang boleh merugikan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat tidak akan dibuat secara terburu-buru kerana keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran terus terpelihara.

Mengulas kemungkinan perubahan dalam struktur PN sekiranya berlaku sebarang keputusan melibatkan Pas dan Bersatu pada masa depan, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri akan meneliti perkembangan tersebut apabila ia benar-benar berlaku.

“Kita tunggu dahulu apa juga keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi. Bagi saya, saya kekal tenang bersama PN dan fokus untuk menghabiskan tempoh pentadbiran ini.

“Saya yakin kepimpinan tertinggi akan membuat keputusan terbaik kerana matlamat kita adalah untuk memenangi pilihan raya. Jika kita berpecah atau bercakaran, kita yang akan rugi,” katanya.

Pada Rabu, Raja Perlis bertitah agar Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin negeri itu sehingga penghujung penggal DUN Perlis ke-15 tanpa sebarang gangguan bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved