
Kontroversi dakwaan unsur ritual pemujaan dalam konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd, mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang yang mengingatkan umat Islam supaya segera bertaubat sekiranya terbabit dalam amalan yang bertentangan dengan akidah.
Memetik laporan Kosmo, Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, perbuatan menyokong atau mengambil bahagian secara sedar dalam ritual penyembahan selain Allah SWT merupakan kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kehadiran seseorang ke konsert semata-mata untuk menikmati persembahan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak bermakna individu berkenaan melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.
Menurutnya, penentuan hukum perlu mengambil kira niat, kepercayaan serta tahap penglibatan seseorang dan bukannya membuat kesimpulan berdasarkan kehadiran mereka semata-mata.
“Kehadiran seseorang semata-mata untuk menyaksikan persembahan hiburan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak menjadikan individu itu melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.
“Namun, bagi mereka (umat Islam) yang menghadiri konsert tersebut sangat digalakkan untuk bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat. Bagi mereka yang benar-benar melakukan perkara yang diharamkan, taubat adalah wajib,” katanya.
Beliau mengulas kontroversi konsert After Hours Til Dawn Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu, susulan dakwaan terdapat elemen persembahan yang dikaitkan dengan ritual pemujaan.
Kemunculan robot wanita
Antara yang mencetuskan perdebatan ialah kemunculan arca robot wanita gergasi berwarna keemasan setinggi kira-kira 40 kaki serta penari berjubah merah, yang menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan pengguna media sosial.
Mohd Sukki bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menganggap semua penonton konsert terbabit melakukan syirik hanya berdasarkan dakwaan atau simbol yang dipaparkan ketika persembahan.
Tegasnya, individu yang benar-benar melakukan penyembahan selain Allah SWT secara sedar dan rela telah melakukan dosa syirik yang besar serta wajib segera bertaubat nasuha dengan meninggalkan perbuatan tersebut dan berazam tidak mengulanginya.
Hiburan perlu patuhi garis panduan syarak
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kewajipan bertaubat turut melibatkan umat Islam yang sengaja melakukan perkara dilarang syarak ketika menghadiri acara hiburan, termasuk pergaulan bebas tanpa menjaga batas, pendedahan aurat, pengambilan arak dan perlakuan tidak senonoh.
Katanya, Islam tidak melarang hiburan secara keseluruhan, namun setiap aktiviti hiburan perlu mematuhi garis panduan syarak dan tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan akidah serta akhlak umat Islam.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang bekerjasama dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi meneliti kesahihan dakwaan unsur pemujaan dalam konsert berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, penelitian itu turut merangkumi pematuhan terhadap syarat persembahan yang ditetapkan, manakala tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran berdasarkan fakta yang sahih.
Terdahulu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut mengingatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati terhadap persembahan hiburan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, selain menegaskan bahawa kebebasan berkarya tidak seharusnya mengetepikan batas agama.
Sumber: Kosmo, Portal Berita RTM, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
The post ‘Perlu bertaubat jika ada ritual pemujaan’ -Mufti Pulau Pinang appeared first on The Reporter.






