
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial mengenai Konsert After Hours Til Dawn Tour oleh The Weeknd yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu.
Semuanya gara-gara kehadiran patung gergasi berwarna emas dan penari berjubah warna merah yang telah mencetuskan kontroversi dan didakwa mempunyai unsur pemujaan.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Bahagian Penyelidikan telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular termasuk meneliti pematuhan syarat persembahan konsert terbabit.
Umat Islam Hadiri Konsert The Weeknd Perlu Bertaubat Jika Ada Ritual Pemujaan – Mufti
Malam tadi (9 November), Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan umat Islam yang menghadiri konsert tersebut disaran segera bermuhasabah, beristighfar serta menunaikan solat sunat taubat jika mengetahui dan sengaja menyertai perbuatan yang bertentangan dengan akidah.
Jelas beliau, perbuatan menyokong atau mengambil bahagian secara sedar dalam ritual pemujaan atau penyembahan selain Allah SWT merupakan perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh Muslim.
Namun Mohd Sukki menjelaskan, penilaian hukum terbabit perlu dibezakan antara mereka yang hadir sebagai penonton tanpa mengetahui kewujudan ritual dengan mereka yang secara sedar mengambil bahagian atau mengktiraf amalan terbabit.
“Kehadiran seseorang semata-mata untuk menyaksikan persembahan hiburan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak menjadikan individu itu melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.
“Namun, bagi mereka (umat Islam) yang menghadiri konsert tersebut sangat digalakkan untuk bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat.
“Bagi mereka yang benar-benar melakukan perkara yang diharamkan, taubat adalah wajib,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tak Boleh Hukum Semua Pengunjung Sebagai Syirik Hanya Kerana Ada Di Konsert Didakwa Ada Unsur Pemujaan
Pun begitu, Mohd Sukki menjelaskan, semua pengunjung yang menghadiri konsert tersebut tidak boleh dihukum sebagai syirik hanya kerana kehadiran mereka berada di acara yang didakwa mempunyai unsur pemujaan.
“Namun, sekiranya seseorang mengetahui wujudnya unsur pemujaan yang bertentangan dengan akidah Islam tetapi sengaja menyokong atau turut serta dalam perlakuan tersebut, maka perbuatannya adalah haram dan wajib ditinggalkan serta hendaklah bertaubat.
“Tahap kesalahan akidahnya bergantung pada bentuk penyertaan, niat dan kepercayaannya,” jelasnya.
Individu Lakukan Penyembahan Selain Allah SWT Syirik & Berdosa Besar, Wajib Bertaubat
Tegas beliau lagi, sekiranya seseorang itu benar-benar melakukan penyembahan selain daripada Allah SWT dengan penuh kesedaran dan kerelaan, maka perbuatannya itu dianggap syirik dan berdosa besar.
Malah, individu yang terlibat perlu segera melakukan taubat nasuha dan meninggalkan perbuatan tersebut, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Tak Boleh Buat Kesimpulan Semua Yang Hadiri Konsert Terlibat Dalam Ritual Pemujaan
Pada masa sama, Mohd Sukki menjelaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa kesemua pengunjung yang menghadiri konsert tersebut terlibat dalam ritual pemujaan hanya berdasarkan dakwaan serta tafsiran terhadap persembahan pentas.
Ini kerana beliau berpendapat, tindakan JAKIM yang menjalankan siasatan serta penelitian seharusnya diberi ruang untuk mengenal pasti perkara sebenar berdasarkan fakta.
Jelasnya, umat Islam juga perlu berhati-hati dalam memilih persembahan yang dihadiri terutamanya jika acara berkenaan menampilkan simbol, perlakuan atau mesej yang boleh mengelirukan dan menjejaskan pegangan akidah.
Taubat Bukan Terhad Kepada Mereka Yang Terlibat Dengan Ritual Pemujaan, Turut Libatkan Perbuatan Maksiat Yang Melanggar Hukum Syarak
Tegas Mohd Sukki, kewajipan bertaubat bukan hanya terhad kepada mereka yang terlibat dalam ritual pemujaan.
Namun ia turut merangkumi individu beragama Islam yang menghadiri konsert atau program hiburan melibatkan maksiat serta pelanggaran hukum syarak.
“Sekiranya sesuatu konsert membabitkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa menjaga batas syarak (ikhtilat yang diharamkan), pendedahan aurat, perlakuan tidak senonoh, pengambilan arak atau perbuatan maksiat yang lain, maka umat Islam yang sengaja terbabit dalam perkara tersebut wajib bertaubat kepada Allah SWT.
“Islam tidak mengharamkan hiburan secara mutlak, namun hiburan mestilah mematuhi garis panduan syarak dan tidak menjadi medan untuk melakukan maksiat.
“Justeru, umat Islam hendaklah menjauhi hiburan yang jelas mengandungi unsur kemungkaran, walaupun tidak membabitkan sebarang ritual pemujaan atau unsur syirik,” jelasnya.
Untuk info, patung gergasi wanita emas yang terdapat di konsert The Weeknd merupakan hasil karya artis Jepun, Hajime Sorayama.
Menerusi semakan kami, patung berketinggian 40 kaki itu berada di semua konsert jelajah dunia The Weeknd After Hours Til Dawn Tour.
Memetik halaman Fader, patung wanita itu sememangnya diukir secara eksklusif untuk siri jelajah tersebut oleh Sorayama yang sememangnya terkenal dengan karya seni futuristik khususnya ilustrasi robot humanoid yang menggunakan aluminium dan keluli tahan karat dengan kemasan berkilat.
Sebelum ini, ada netizen dari negara lain yang mengaitkan patung tersebut seolah-olah seperti bekas kekasih Abel Tesfaye iaitu Bella Hadid.
View this post on Instagram
Baca Artikel Berkaitan: “Boleh Cetus Fitnah” – Peserta Keretapi Sarong Didakwa Pakai Baju Dengan ‘Simbol Syaitan’ Undang Perhatian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Permainan Kuda Kepang Ada Unsur Bertentangan Dengan Islam, Kata Mufti Johor






