Perlu komponen khusus dalam akta ganti AUKU

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perlu komponen khusus dalam akta ganti AUKU

KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU) dan menggantikannya dengan kerangka perundangan baharu.

MAAC turut mengalu-alukan pengumuman penubuhan jawatankuasa bebas, pelaksanaan libat urus menyeluruh, pembangunan draf undang-undang dan penyediaan mekanisme peralihan bagi memastikan reformasi ini dilaksanakan secara teratur, inklusif dan berasaskan bukti.

Namun, MAAC mencadangkan supaya akta baharu mengandungi suatu bahagian khusus mengenai perkhidmatan universiti yang memperjelas prinsip dan perlindungan berkaitan pelantikan, pengesahan jawatan, penilaian prestasi, kenaikan pangkat, beban tugas, pembangunan profesional, cuti sabatikal, tatatertib, representasi, rayuan dan keselamatan perkhidmatan warga akademik.

Semua proses tersebut hendaklah berasaskan merit, kriteria yang telus, penilaian akademik yang adil serta prinsip keadilan asasi, dengan mengambil kira beban tugas akademik yang munasabah dan seimbang meliputi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, khidmat profesional dan tanggungjawab pentadbiran.

Sistem penilaian prestasi dan kenaikan pangkat juga hendaklah dilaksanakan secara telus, adil dan berasaskan kepelbagaian bidang, disiplin serta bentuk sumbangan akademik.

Perhatian juga perlu diberikan kepada gaji dan emolumen, pengiktirafan profesional, kesihatan mental, kesejahteraan tempat kerja serta usaha mengekalkan kepakaran kritikal dan juga manfaat selepas persaraan.

Bagi ahli akademik berpengalaman yang telah mencapai usia persaraan, mekanisme pelantikan pasca persaraan yang fleksibel boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan bidang, merit, prestasi dan penilaian berkala, tanpa menjejaskan perancangan penggantian serta peluang pembangunan generasi akademik baharu.

Reformasi perundangan hendaklah membawa penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan tinggi dan bukan menghasilkan bentuk kawal selia baharu yang lebih membebankan atau mengehadkan kebebasan akademik dan autonomi institusi.

Justeru, MAAC bersedia menyumbangkan kepakaran dan pengalaman staf akademik dalam jawatankuasa bebas, sesi libat urus, bengkel konsultasi dan pembangunan draf undang-undang baharu.

Kerangka pendidikan tinggi yang baharu hendaklah dibangunkan bukan hanya untuk universiti, tetapi bersama universiti dan seluruh pemegang taruh pendidikan tinggi.

Reformasi ini merupakan peluang untuk Malaysia membina sistem pendidikan tinggi yang lebih matang, adil, berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa.

MAAC menegaskan kesediaannya untuk menjadi rakan strategik Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjayakan proses ini secara konstruktif, profesional dan berteraskan kepentingan jangka panjang negara. – UTUSAN

KONGRES PERSATUAN AKADEMIK MALAYSIA (MAAC)

The post Perlu komponen khusus dalam akta ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved