Bina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kukuh

7 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kukuh

PENGUMUMAN terkini oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan kerangka Akta Satu Pendidikan Tinggi (OHEA) merupakan satu langkah berani yang wajar disahut dengan penuh iltizam.

Sebagai pendidik dan pentadbir, saya bersama-sama barisan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNC/R) menyambut baik dan menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif yang digerakkan di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 ini.

Bagi menelusuri fasa peralihan ini, terdapat beberapa asas penting yang perlu kita hayati bersama:

Keperluan Akta
Masyarakat sering kali terperangkap dengan dogma bahawa AUKU hanyalah sebuah instrumen untuk mengawal tindak-tanduk mahasiswa.

Hakikatnya, kita perlu bersetuju dengan ketetapan bahawa AUKU adalah lebih besar daripada itu; ia merupakan akta induk yang menjadi tulang belakang kepada penubuhan, pentadbiran, serta tadbir urus sesebuah universiti awam.

Walaupun AUKU telah melalui pelbagai siri pindaan sepanjang usianya bagi menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, akta sedia ada ini masih memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh.

Oleh itu, langkah pemansuhannya yang disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang lebih progresif amat diperlukan bagi menyokong ekosistem pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan.

Peranan Universiti, Mahasiswa
Sebuah menara gading yang cemerlang memerlukan ruang pernafasan yang baharu.

Akta baharu yang bakal digubal ini diharap dapat tampil dengan lebih telus, lantas memberikan ruang yang lebih luas untuk pihak universiti dan mahasiswa memainkan peranan masing-masing.

Universiti awam amat komited untuk memastikan kerangka baharu ini kelak mampu memperkukuh autonomi institusi, menjamin kebebasan akademik, serta mengangkat peranan dan suara mahasiswa.

Dalam keghairahan kita memberikan kebebasan dan pemerkasaan ini, pihak universiti juga berikrar untuk memastikan tahap tadbir urus, akauntabiliti, dan kecemerlangan institusi terus terpelihara.

Proses Penggubalan
Membina sebuah kapal baharu untuk pelayaran yang jauh tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Proses penggubalan akta baharu ini menuntut ketelitian yang tinggi agar ia benar-benar komprehensif dan inklusif.

Kami amat menghargai pendekatan KPT yang komited untuk melaksanakan proses peralihan ini secara menyeluruh.

Proses libat urus ini perlu merangkumi pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah ahli akademik, wakil mahasiswa, pemain industri, penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), serta barisan pakar perundangan.

Sinergi pelbagai pemegang taruh ini adalah resepi utama untuk memastikan undang-undang yang terhasil kelak tidak berhadapan dengan lompang perundangan.

Kesediaan UniSZA
Di pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kami tidak akan hanya menjadi pemerhati dalam lembaran sejarah ini. Sebagai sebahagian daripada kepimpinan universiti awam negara,

UniSZA bersedia sepenuhnya untuk terlibat secara aktif dan menyumbang kepakaran kami dalam proses penggubalan akta baharu ini.

Kami berpegang teguh bahawa pembaharuan landskap perundangan ini merupakan satu lonjakan transformasi yang kritikal.

Anjakan ke arah Akta Satu Pendidikan Tinggi ini bakal memastikan sistem pendidikan tinggi di Malaysia kekal dinamik, relevan dan berdaya saing dalam mendepani apa jua cabaran global.

Marilah kita berganding bahu, membuang prejudis dan merungkai perbezaan, demi memastikan masa depan pendidikan tinggi negara terus gemilang. – UTUSAN

PROFESOR DATUK DR. FADZLI ADAM
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

The post Bina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kukuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved