
Kota Kinabalu: Kerajaan perlu memperluaskan subsidi tiket penerbangan untuk merangkumi semua rakyat B40 Sabah yang pulang ke tanah air untuk Aidilfitri, bukan hanya pelajar, kata Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau berkata ramai rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia bergelut dengan harga tambang yang tinggi, terutama pada musim perayaan, menyukarkan mereka untuk berkumpul semula dengan keluarga.
“Setiap tahun, ramai rakyat Sabah menghadapi harga tiket terlalu tinggi apabila cuba pulang berhari raya. Bagi kumpulan B40, ini adalah beban kewangan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Beliau berkata walaupun inisiatif kerajaan untuk memberi subsidi tiket penerbangan kepada pelajar dialu-alukan, ia tidak mencukupi untuk meringankan beban rakyat Sabah yang berpendapatan rendah, yang kebanyakannya bekerja jauh dari tempat asal.
“Kerajaan perlu mempertimbang untuk memperluaskan subsidi ini supaya semua rakyat Sabah yang berpendapatan rendah, bukan sahaja pelajar, juga dapat berhari raya bersama keluarga tanpa dibebani kos perjalanan yang tinggi,” katanya.
Bung Moktar menegaskan, bagi kebanyakan rakyat Sabah yang bekerja di semenanjung, tiket penerbangan mahal sudah lama menjadi penghalang untuk pulang, terutama ketika perayaan besar seperti Aidilfitri.
“Kos sara hidup semakin meningkat, dan ramai rakyat B40 Sabah sedia bergelut untuk menampung kehidupan. Ditambah harga tambang penerbangan yang tinggi, ini hanya menyukarkan mereka untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang pada musim perayaan,” katanya.
Tambahnya, inisiatif seumpama itu akan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membawa kelegaan yang amat diperlukan kepada mereka yang menghadapi masalah kewangan.
“Pemberian subsidi tambang penerbangan untuk kumpulan B40 adalah satu langkah ke arah memastikan tiada yang tertinggal. Semua orang berhak untuk pulang ke tempat asal dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Bung Moktar menggesa kerajaan mengambil serius isu ini, mengatakan Umno Sabah akan terus menyokong akses adil kepada sokongan penting untuk semua rakyat Sabah.
“Kerajaan perlu memastikan semua rakyat Sabah, khususnya golongan B40, tidak diketepikan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan menjaga kebajikan mereka,” katanya.



