Permintaan kukuh biodiesel dijangka terus sokong pemulihan keuntungan TH Plantations sehingga 2027 - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan kukuh biodiesel dijangka terus sokong pemulihan keuntungan TH Plantations sehingga 2027 - BIMB Securities Image from: Permintaan kukuh biodiesel dijangka terus sokong pemulihan keuntungan TH Plantations sehingga 2027 - BIMB Securities hamden24/11/2026 - 09:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Permintaan berterusan daripada sektor makanan dan biodiesel dijangka menjadi antara pemacu utama yang menyokong harga minyak sawit mentah (CPO) sehingga 2027, sekali gus memberikan prospek lebih positif kepada sektor perladangan meskipun pengeluaran dijangka menyederhana.

 

BIMB Securities berkata, perkembangan itu turut memberi ruang kepada TH Plantations Berhad (THP) untuk mengekalkan momentum prestasi kewangannya, selepas kumpulan merekodkan pemulihan ketara keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), disokong peningkatan jumlah jualan dan harga jualan CPO yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM29.5 juta bagi 3QFY26, meningkat berbanding RM4.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) yang disemak semula.

 

Pemulihan itu berlaku susulan peningkatan jumlah jualan CPO dan isirung sawit (PK) masing-masing sebanyak 30% dan 32% suku ke suku.

 

Pengeluaran buah tandan segar (BTS) turut meningkat 39% kepada 243,079 tan metrik, manakala harga jualan purata CPO naik 1% kepada RM4,542 satu tan metrik.

 

Prestasi lebih baik itu turut menyumbang kepada pengembangan margin PATAMI teras sebanyak 8.4 mata peratusan kepada 10.6% berbanding suku sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), THP merekodkan hasil RM689.3 juta, meningkat 2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, PATAMI teras susut 24% tahun ke tahun kepada RM37 juta, terutamanya disebabkan peningkatan cukai dan zakat.

 

Pencapaian hasil dan keuntungan itu masing-masing mewakili 75% dan 74% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan berkenaan.

 

Prospek 

Mengulas prospek kumpulan, BIMB Securities kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prestasi THP, meskipun pendapatan bagi suku keempat FY26 dijangka menyederhana berbanding suku sebelumnya.

 

Ini berikutan pengeluaran yang lebih rendah mengikut faktor musim berpotensi menjejaskan jumlah jualan, selain peningkatan kos bahan api dan pengangkutan yang boleh terus memberi tekanan kepada margin keuntungan.

 

Bagaimanapun, jangkaan penyederhanaan pengeluaran industri serta permintaan berterusan daripada sektor makanan dan biodiesel dijangka terus menyokong harga CPO sehingga 2027.

 

Dalam pada itu, THP akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti tanaman, kecekapan penuaian dan penggunaan kapasiti kilang, selain mengawal perbelanjaan baja secara berdisiplin.

 

BIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan THP tanpa sebarang perubahan, selain mengekalkan penarafan Tidak Dinilai (Non-Rated).

 

Pada paras semasa, saham THP didagangkan pada kira-kira lapan kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27F, lebih rendah berbanding purata sejarah hadapan sekitar 10 kali. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved