hamden24/11/2026 - 17:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Bina Darulaman Bhd (BDB) kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.30 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding kerugian bersih RM11.82 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pemulihan itu turut ketara pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) apabila kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM855,000 berbanding kerugian RM6.43 juta pada suku sama FY2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi lebih baik itu disokong pemulihan segmen pembangunan hartanah yang kembali mencatatkan keuntungan, pengurangan kerugian segmen kejuruteraan dan pembinaan serta penurunan perbelanjaan operasi kepada RM24.2 juta berbanding RM29.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berkenaan.
Bagaimanapun, hasil keseluruhan kumpulan menyusut 33% kepada RM185.65 juta berbanding RM278.95 juta pada 9MFY25.
Segmen pembangunan hartanah mencatatkan hasil RM54.35 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM4.10 juta berbanding kerugian RM8.25 juta sebelumnya, didorong pengiktirafan jualan lebih tinggi, kemajuan pembangunan serta jualan hartanah Axis.
Segmen pembinaan jalan dan kuari kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM89.46 juta dan keuntungan sebelum cukai RM2.96 juta berbanding hasil RM97.69 juta serta keuntungan RM3.35 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, susulan sumbangan lebih rendah daripada kerja penurapan jalan.
Sementara itu, segmen kejuruteraan dan pembinaan merekodkan hasil RM35.83 juta berbanding RM163.91 juta sebelumnya, berikutan kemajuan perlahan projek Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang.
Bagaimanapun, kerugian sebelum cukai segmen itu berkurangan hampir separuh kepada RM1.73 juta berbanding RM3.42 juta, disokong pelepasan kos projek tidak digunakan bagi NRW Perlis serta aktiviti penjimatan kos.
Segmen rekreasi pula mencatatkan hasil RM5.42 juta, disokong pengendalian terus Fantasia Aquapark, manakala kerugian sebelum cukai dikawal pada RM1.34 juta.
Kekal pemulihan, kukuhkan penjanaan tunai
Mengulas prospek, BDB berkata, keutamaan kumpulan adalah mengekalkan pemulihan keuntungan dan memperkukuh penjanaan tunai menerusi penyampaian projek, penukaran jualan hartanah serta kawalan modal kerja yang ketat.
Segmen pembinaan jalan dan kuari dijangka mendapat sokongan daripada kontrak penyelenggaraan jalan negeri Kedah bernilai RM251.65 juta bagi tempoh 60 bulan yang diperoleh BDB Infra Sdn Bhd, sekali gus memberikan keterlihatan hasil jangka panjang.
Selain itu, BDB Synergy Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM11.50 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pembinaan Pusat Perniagaan Terpadu di Kedah Rubber City, Padang Terap.
Segmen pembangunan hartanah pula akan memberi tumpuan kepada penukaran jualan kepada bil serta memajukan projek utama di Bandar Darulaman, Darulaman Saujana dan Aman Nusa.
Bagi segmen rekreasi, kumpulan akan terus meningkatkan penggunaan kemudahan di Darulaman Park, Darulaman Golf & Country Club, Fantasia Aquapark, Darulaman Sanctuary dan The LAB.
Lembaga Pengarah BDB kekal optimis bahawa prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 akan menunjukkan penambahbaikan berbanding tahun kewangan sebelumnya. - DagangNews.com




