hamden24/11/2026 - 11:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Penstrukturan semula operasi huluan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dijangka terus membebani prospek pendapatan Dayang Enterprise Holdings Bhd apabila peralihan kontrak dan ketidaktentuan aktiviti penyelenggaraan luar pesisir menjejaskan keterlihatan kerja kumpulan itu sehingga 2027.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, Dayang kini melalui tempoh peralihan apabila kontrak Pakej A5 bernilai RM765 juta dijangka dipindahkan kepada Vestigo, sekali gus menimbulkan cabaran terhadap kesinambungan kerja dan pendapatan kumpulan dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, terdapat beberapa peluang baharu yang berpotensi menyokong prospek jangka sederhana Dayang, termasuk kerja pengangkutan, pemasangan dan pentauliahan (HUC) bernilai RM1 bilion di Sarawak.
"Potensi lain ialah kemungkinan tender semula projek penyahaktifan fasiliti serta kontrak pengurusan, pembinaan dan penyelenggaraan (MCM) bernilai AS$200 juta di Brunei," katanya dalam nota penye;idikan hari ini.
HLIB berkata, bagaimanapun pesanan kerja yang lebih perlahan, penangguhan aktiviti penyelenggaraan serta ketidaktentuan berterusan berhubung hubungan PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) terus menjadi kekangan utama terhadap pertumbuhan pendapatan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan FY27 kekal mencabar, dengan pemulihan bermakna hanya berpotensi bermula pada separuh kedua FY28.
Susulan prospek lebih mencabar itu, HLIB mengurangkan unjuran pendapatan Dayang bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 12%, 39% dan 22%.
Firma itu juga menurunkan saranan saham kepada PEGANG daripada penarafan sebelumnya.
Harga sasaran saham turut dikurangkan kepada RM1.01 daripada RM1.64, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 11 kali bagi FY27, sejajar dengan purata sejarah tiga tahun.
Berdasarkan keputusan kewangan terbaharu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil Dayang merosot 46% kepada RM165.25 juta berbanding RM305.77 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat susut 52.5% kepada RM38.15 juta daripada RM80.29 juta. - DagangNews.com





