Permintaan Mi Technovation meningkat sebelum pengecualian tarif AS tamat

09/05/2025 - 16:16
Gambar/Mi Technovation Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 9 Mei - Mi Technovation Bhd mencatatkan lonjakan permintaan menjelang tamat tempoh pengecualian Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) selama 90 hari pada 8 Julai ini.
Walaupun pendedahan syarikat kepada pasaran AS hanya sekitar 2%, lonjakan pesanan tersebut dijangka memberi kesan positif kepada prestasi kewangan suku pertama 2025.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) mengekalkan penarafan 'outperform' dan meramalkan keuntungan bersih teras sebanyak RM78.2 juta untuk tahun kewangan 2025.
Syarikat itu dijangka mengumumkan keputusan suku pertama pada 16 Mei 2025.
Walaupun permintaan kini meningkat, PublicInvest memberi amaran, momentum tersebut mungkin perlahan pada separuh kedua 2025.
"Bagi segmen bahan, permintaan dijangka kekal perlahan disebabkan hari bekerja yang pendek di Taiwan dan China," katanya dalam satu nota kajian.
Mi Technovation turut merancang membuka kilang ketiga untuk menghasilkan bebola pateri, selain dua kilang sedia ada di Tainan dan Ningbo, bagi mengurangkan kesan sekatan perdagangan yang semakin ketat.
Menurut PublicInvest, segmen rumusan syarikat pula dijangka mula menyumbang secara ketara kepada pendapatan pada tahun 2028, melalui pembekalan sistem penghantaran kuasa kepada pengeluar kenderaan komersial di Taiwan, China dan Jepun.
"Mi Technovation terus memberi tumpuan kepada inovasi dan pengembangan produk untuk memenuhi keperluan pelanggan.
"Walaupun menghadapi cabaran pasaran semikonduktor global, Mi Technovation tetap optimis dengan prospek jangka panjangnya, terutamanya dalam sektor teknologi dan automotif," ujarnya. - DagangNews.com
standard

