Bank Islam salur dana RM19.4 juta bantu golongan B40, usahawan kecil

LocalBusiness & Finance
9 May 2025 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bank Islam salur dana RM19.4 juta bantu golongan B40, usahawan kecil

image is not available

09/05/2025 - 12:43

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad menerusi beberapa inisiatif, menyalurkan sejumlah RM19.4 juta untuk golongan kurang berkemampuan dan usahawan mikro pada 2024, sekali gus memperlihatkan peranan institusi kewangan itu memperkukuh kehidupan masyarakat.

Kesemua dana itu disalurkan menerusi inisiatif Sadaqa House, Program Pembangunan Usahawan iTEKAD dan Dana Anak Yatim Sadaqa House.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, berkata, dana itu turut digunakan untuk membantu perniagaan kecil berkembang, memberi sokongan dalam pendidikan dan kesihatan, serta membekalkan tenaga hijau kepada komuniti terpinggir seperti nelayan dan masyarakat Orang Asli di Johor.

"Usaha ini bukan saja menggalakkan akses kewangan untuk semua, tetapi juga membantu memperbaiki kehidupan rakyat dan membina ekonomi yang lebih adil dan kukuh," katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-42 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Bank Islam turut melancarkan Laporan Impak Sadaqa House 2024 yang memaparkan pelbagai inisiatif berkaitan kewangan sosial yang dijalankan melalui platform Sadaqa House.

Bank Islam mencatat keuntungan bersih RM571.1 juta pada 2024, meningkat 3.3% berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah aset meningkat kepada RM96.8 bilion, manakala deposit dan pelaburan pelanggan turut naik sebanyak 6.4% kepada RM80.9 bilion.

Pendapatan bersih berasaskan dana juga bertambah 5.1%, didorong oleh hasil lebih tinggi daripada pelaburan dan pembiayaan.

Mohd Muazzam berkata, pencapaian tersebut turut meningkatkan minat pelabur institusi dan runcit terhadap bank itu, yang turut menawarkan peluang pelaburan menarik dalam sektor perbankan Islam, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau dalam pada itu berkata, Bank Islam pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada pengembangan perkhidmatan seperti pengurusan kekayaan, Ar-Rahnu dan tukaran wang asing.

Tambahnya, bank juga akan mengukuhkan kerjasama dengan syarikat berkaitan, BIMB Investment dan BIMB Securities.

Jelas beliau, pada masa yang sama, Bank Islam akan terus memperoleh aset dalam sektor hijau dan mampan yang berpotensi tinggi bagi menyokong pertumbuhan sejajar dengan matlamat kelestariannya.

"Seiring perkembangan industri kewangan, Bank Islam komited kepada perbankan yang bertanggungjawab serta pertumbuhan jangka panjang yang mampan, bagi membina sistem kewangan yang lebih inklusif dan kukuh untuk masa depan," ujarnya. - DagangNews.com

standard