Permintaan minyak mentah AS hingga 200,000 tong sehari beri manfaat kepada sektor O&G Malaysia – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan minyak mentah AS hingga 200,000 tong sehari beri manfaat kepada sektor O&G Malaysia – MBSB Research Image from: Permintaan minyak mentah AS hingga 200,000 tong sehari beri manfaat kepada sektor O&G Malaysia – MBSB Research liza30/10/2026 - 09:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – Sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada permintaan tambahan minyak mentah berikutan langkah Amerika Syarikat (AS) mengisi semula rizab petroleum strategiknya (SPR) yang menyusut ke paras terendah dalam tempoh 44 tahun.

 

MBSB Research berkata, proses pengisian semula rizab itu dijangka mewujudkan permintaan berterusan sekitar 150,000 hingga 200,000 tong sehari (bpd) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang yang menyediakan sokongan tambahan kepada harga minyak mentah dunia.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan positif terhadap sektor O&G, selain memilih Dialog Group Bhd sebagai saham pilihan utama dengan saranan Beli pada harga sasaran RM2.22 sesaham.

 

Menurutnya, pembelian semula minyak oleh AS dijangka bermula 1 November 2026 apabila syarikat yang sebelum ini meminjam bekalan daripada SPR perlu memulangkannya bersama premium kira-kira 25%.

 

Permintaan minyak AS dijangka berterusan hingga 2029

MBSB Research menganggarkan kira-kira 165 juta tong minyak termasuk premium perlu dikembalikan kepada SPR yang mewujudkan permintaan tambahan yang boleh berterusan sehingga penghujung 2028 atau pertengahan 2029.

 

“Kadar pengisian semula yang lebih realistik dianggarkan sekitar 150,000 hingga 200,000 bpd, berbanding kapasiti maksimum SPR sebanyak 670,000 bpd yang hanya boleh dicapai dalam keadaan operasi optimum.

 

“Walaupun jumlah berkenaan kurang daripada 0.2% berbanding unjuran bekalan minyak dunia sebanyak 110 juta bpd pada 2027, pembelian tersebut boleh menjadi sumber permintaan yang sederhana tetapi berterusan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagaimanapun, pengisian semula SPR sahaja tidak mencukupi untuk menentukan pergerakan harga minyak dunia, sebaliknya turut melengkapi usaha membina semula rizab komersial dan simpanan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

 

Rizab strategik AS susut 32% selepas pelepasan minyak

Pada 11 Mac 2026, IEA menyelaraskan pelepasan 400 juta tong minyak daripada rizab negara anggotanya bagi meredakan kejutan harga minyak susulan perang Iran.

 

AS menyumbang 172 juta tong daripada jumlah itu yang dipinjamkan kepada syarikat sebagai sebahagian daripada langkah menangani gangguan bekalan.

 

t

 

MBSB Research berkata, antara 27 Februari hingga 16 Oktober 2026, jumlah simpanan minyak mentah AS menyusut kira-kira 160 juta tong, dengan 133 juta tong atau sekitar 83% daripadanya diambil daripada SPR.

 

Susulan itu, rizab SPR merosot 32% kepada 283 juta tong berbanding 415 juta tong sebelum ini, iaitu paras terendah sejak 1982 dan hanya sekitar 30 juta tong melebihi paras 252.4 juta tong yang mengehadkan pelepasan rutin mengikut peruntukan undang-undang.

 

Harga Brent diunjur AS$80 hingga AS$90 setong pada 2027

Dari segi harga minyak, MBSB Research mengekalkan andaian harga minyak mentah Brent pada AS$90 hingga AS$100 setong bagi 2026 dan AS$80 hingga AS$90 setong pada 2027.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan perang Iran akan reda pada suku pertama 2027 manakala aliran minyak mentah dan produk petroleum kembali normal menjelang pertengahan tahun berkenaan.

 

Unjuran itu turut selari dengan jangkaan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) yang mengunjurkan harga Brent pada AS$84 setong pada 2027, apabila pengeluaran minyak di rantau Teluk kembali ke paras sebelum konflik menjelang penghujung suku kedua tahun berkenaan.

 

EIA juga mengunjurkan lebihan bekalan minyak dunia sebanyak kira-kira 4.9 juta bpd pada 2027, yang dijangka mencukupi untuk membina semula inventori minyak yang telah susut.

 

Dialog kekal saham pilihan utama

Dalam sektor O&G tempatan, MBSB Research berkata prospek pertumbuhan Dialog bagi tahun kewangan 2027 kekal disokong kedudukan aset pengeluaran minyak dan gas huluannya yang boleh mendapat manfaat daripada persekitaran harga minyak mentah yang lebih tinggi.

 

Antara pemacu pertumbuhan lain termasuk pengiktirafan pendapatan daripada pegangan 25% dalam Cendramas PSC mulai 23 September 2026, pengeluaran gas pertama daripada projek Baram Junior Cluster pada suku kedua tahun kewangan 2027 serta penyiapan tangki bahan api boleh baharu berkapasiti 150,000 meter padu di Langsat pada suku pertama tahun kewangan 2027.

 

Dialog turut dijangka mendapat sumbangan pendapatan stabil daripada pajakan terminal tangki berasaskan perjanjian ‘take-or-pay’ selain peningkatan kemajuan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi kemudahan penyimpanan berkapasiti 272,000 meter padu untuk projek biopenapisan Petronas-Eni-Euglena.

 

Bagi tahun kewangan 2028, penambahan kemudahan penyimpanan berkapasiti 614,000 meter padu di PT5 untuk BP Singapore yang dijadualkan beroperasi pada pertengahan 2028, selain kemudahan penyimpanan bagi projek biopenapisan Petronas-Eni-Euglena, dijangka meningkatkan asas pendapatan kumpulan dan menyokong pertumbuhan keuntungan sesahamnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved