Permintaan pengguna, penurunan kos bahan mentah dijangka sokong CAGR pendapatan sesaham Nestle bagi FY22-25 sebanyak 10.6%, kata CGS-CIMB

Business & Finance
3 Nov 2023 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan pengguna, penurunan kos bahan mentah dijangka sokong CAGR pendapatan sesaham Nestle bagi FY22-25 sebanyak 10.6%, kata CGS-CIMB

diyana

03/11/2023 - 09:46

KUALA LUMPUR 3 Nov - Permintaan pengguna yang teguh dan penurunan kos bahan mentah dijangka menyokong kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) Nestle (Malaysia) Berhad bagi tahun kewangan 2022 hingga 2025 (FY22-25) pada 10.6%, kata CGS-CIMB Securities.

Bagaimanapun, penilaian saham kumpulan dengan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi 2024 sebanyak 36.6 kali menghalang peningkatan ketara dalam trajektori pertumbuhan pendapatan, sementara hasil dividen FY24 pada 2.6% menawarkan sedikit sokongan.

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM121 sesaham daripada RM137 sebelumnya berikutan pelarasan andaian aliran tunai terdiskaun (DCF).

Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata langkah-langkah dibentangkan di bawah Belanjawan 2024 untuk membantu golongan B40 M40, termasuk peningkatan pemberian tunai, menyediakan sokongan hasil untuk syarikat pengguna termasuk Nestle Malaysia pada 2024.

Usaha Nestle menghasilkan produk berasaskan tumbuhan tanpa tenusu menambah rangkaian produknya untuk memenuhi kepelbagaian segmen pengguna dengan permintaan yang berbeza-beza.

“Berdasarkan latar belakang ini, kami mengunjurkan kadar pertumbuhan pendapatan yang sihat pada 6.4% dalam FY24 dengan margin yang stabil menyokong peningkatan keuntungan bersih teras sebanyak 7.4%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut CGS-CIMB, rangkaian produk Nestle yang meluas mengurangkan kesan daripada peralihan pengguna kepada jenama lebih murah.

Tambahnya, pengurusan kumpulan itu mengesahkan bahawa walaupun ia masih melaraskan harga dalam beberapa segmen disebabkan peningkatan kos, ia percaya kemuncak dalam kos telah berakhir.

“Kami berpendapat bahawa kesan harga komoditi yang lebih rendah sejak awal 2023 telah pun mengalir ke dalam beberapa syarikat produk pengguna pada suku ketiga 2023 (3Q23), walaupun kurang disebabkan ringgit yang lebih lemah,” katanya.

CGS-CIMB menaikkan unjuran keuntungan bersih Nestle bagi FY23 sebanyak 0.2%, manakala bagi FY24 dan FY25 masing-masing dikurangkan sebanyak 1.6% dan 1.7%.

Setakat pukul 9:44 pagi ini, saham Nestle didagang naik 60 sen atau 0.5% kepada RM123.50 dengan permodalan pasarannya bernilai RM29 bilion. Setakat tahun ini, saham kumpulan telah susut 11.47%. - DagangNews.com