Permintaan pusat data AI pacu pertumbuhan Telekom Malaysia, TM Global dijangka jadi penyumbang utama - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan pusat data AI pacu pertumbuhan Telekom Malaysia, TM Global dijangka jadi penyumbang utama - MBSB Research Image from: Permintaan pusat data AI pacu pertumbuhan Telekom Malaysia, TM Global dijangka jadi penyumbang utama - MBSB Research sarah04/11/2026 - 09:42 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Permintaan tinggi terhadap pusat data, khususnya bagi menyokong kecerdasan buatan (AI), dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan Telekom Malaysia Bhd (TM), dengan segmen TM Global berpotensi mencatatkan prestasi lebih kukuh berbanding perniagaan lain kumpulan itu.

 

MBSB Research berkata, pertumbuhan tersebut bakal disokong peningkatan sumbangan daripada fasa kedua Klang Valley Data Centre (KVDC), Iskandar Puteri Data Centre (IPDC) serta pembangunan pusat data TM Nxera yang direka untuk menyokong AI.

 

Menurut firma penyelidikan itu, permintaan terhadap kemudahan pusat data yang semakin meningkat turut mendorong pengurusan TM meneliti peluang pengembangan perniagaan secara organik dan menerusi pengambilalihan bagi memperkukuh portfolio pusat datanya.

 

"Berikutan permintaan yang sangat tinggi, kami difahamkan pihak pengurusan sedang giat meneliti peluang pertumbuhan secara organik dan melalui pengambilalihan bagi memperluas portfolio pusat data," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Pada separuh pertama 2026, hasil TM Global meningkat 6.8% tahun ke tahun, mengatasi pertumbuhan Unifi sebanyak 5.2% dan TM One sebanyak 1.9%, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa segmen berkenaan akan terus menerajui pertumbuhan kumpulan.

 

Selain pusat data, MBSB Research menjangkakan pendapatan daripada perniagaan kabel dasar laut meningkat menerusi projek Asia Link Cable yang dijadualkan mula beroperasi pada suku kedua 2027 dan sistem kabel Candle pada 2028, selain melihat potensi TM memenangi projek Sistem Kabel Dasar Laut SALAM yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Sementara itu, Unifi kekal sebagai penyumbang utama hasil TM dengan sumbangan 49.3% pada suku kedua 2026, disokong kira-kira 3.2 juta pelanggan dan peningkatan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) sebanyak 4.8% kepada RM132 sebulan.

 

Dari segi kos operasi, firma itu menjangkakan nisbah kos kepada hasil TM berkurangan daripada 84.6% pada separuh pertama 2026 kepada sekitar 80%, hasil penjimatan kos kakitangan menerusi skim pemisahan sukarela (VSS) serta pengurangan kos 5G apabila perkhidmatan Unifi Mobile beralih daripada rangkaian Digital Nasional Bhd (DNB) kepada rangkaian 5G U Mobile.

 

Mengambil kira prospek pertumbuhan lebih stabil dan struktur kos yang semakin baik, MBSB Research menaik taraf saranan saham TM kepada 'BELI' daripada 'NEUTRAL' dengan harga sasaran RM9.04 berbanding RM8.31 sebelum ini, menawarkan potensi jumlah pulangan sebanyak 19.3% termasuk hasil dividen 4.9%.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved