sarah04/11/2026 - 10:51 Kampus Pusat Data 150MW JH1 milik Princeton Digital Group di Sedenak Tech Park, Johor - Gambar hiasan (FB Datuk Onn Hafiz Ghazi) Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Princeton Digital Group (PDG) memperoleh pembiayaan hijau AS$1.3 bilion (RM5.1 bilion) daripada enam bank utama bagi memperluas kampus pusat data JH1 berkapasiti 200 megawatt (MW) di Johor, susulan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
Pengendali pusat data serantau itu berkata, pembiayaan tersebut disokong Affin Bank, HSBC, Maybank, OCBC, Standard Chartered dan UOB bagi membiayai pembangunan serta pengembangan berterusan kampus JH1 yang terletak di Sedenak Tech Park.
Menurut PDG, kemudahan pembiayaan itu merupakan kesinambungan kepada pembiayaan bagi fasa terdahulu projek berkenaan yang mula diperoleh daripada tiga bank pada April 2024 sebelum diperluas dengan penyertaan empat bank pada Oktober 2025.
Pembiayaan tersebut distrukturkan di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Hijau PDG bagi memastikan pembangunan JH1 memenuhi piawaian bangunan hijau yang diiktiraf, termasuk pensijilan Green Building Index (GBI) Gold bagi reka bentuk dan LEED Gold bagi operasi.
Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PDG, Rangu Salgame berkata, pembiayaan itu mencerminkan keyakinan institusi perbankan terhadap keupayaan syarikat melaksanakan projek pusat data berskala besar serta kerjasama kukuhnya dengan penyedia perkhidmatan teknologi berskala besar.
"Pembiayaan ini mencerminkan keyakinan rakan perbankan kami, termasuk beberapa institusi yang menyokong JH1 sejak fasa awal, terhadap keupayaan pelaksanaan PDG dan kerjasama kukuh kami dengan penyedia perkhidmatan pusat data berskala besar," katanya dalam kenyataan.

Kampus JH1 yang dibangunkan di Sedenak Tech Park direka untuk menyokong beban kerja AI berketumpatan tinggi dan pengkomputeran awan, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital berkapasiti besar di rantau Asia Pasifik.
Pembiayaan terbaharu itu turut menyumbang kepada rancangan PDG yang diumumkan pada Mac 2026 untuk mendapatkan pembiayaan hutang sehingga AS$5 bilion (RM19.62 bilion) bagi membangunkan kapasiti pusat data yang telah dikontrakkan di seluruh Asia Pasifik.
Sejak memasuki pasaran Johor pada 2023, PDG turut memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan dan penglibatan komuniti menerusi kerjasama dengan rakan strategik bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
PDG yang disokong pelabur institusi global termasuk Warburg Pincus, Ontario Teachers' Pension Plan, Mubadala dan Stonepeak kini mempunyai portfolio pusat data dengan kapasiti keseluruhan melebihi 1.8 gigawatt (GW) merentasi lapan negara di Asia Pasifik. - DagangNews.com






