Permintaan semikonduktor dorong pemulihan Texchem, RHB Research kekal saranan Beli

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 11:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan semikonduktor dorong pemulihan Texchem, RHB Research kekal saranan Beli Image from: Permintaan semikonduktor dorong pemulihan Texchem, RHB Research kekal saranan Beli liza31/07/2026 - 11:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – RHB Research menjangka Texchem Resources Berhad akan terus pulih dan berkembang disokong permintaan semikonduktor yang lebih kukuh, pemulihan segmen makanan dan restoran serta pelaksanaan kawalan kos yang lebih baik di seluruh operasi kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan Texchem pada tahun ini dijangka terus dipacu oleh segmen kejuruteraan polimer yang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan bahan bagi peralatan automasi dalam industri semikonduktor dan pemacu cakera keras (HDD).

 

RHB Research turut menjangkakan segmen industri Texchem terus menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan walaupun dalam kadar lebih sederhana pada separuh kedua 2026 selepas aktiviti pengisian semula stok pelanggan yang tinggi pada separuh pertama tahun ini.

 

“Bagi segmen restoran, kami menjangka prestasi akan bertambah baik hasil usaha pemulihan jenama, tumpuan kepada model kiosk serta strategi menutup cawangan yang tidak menguntungkan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

“Sementara itu, segmen makanan dijangka mengekalkan momentum pemulihan selepas kembali mencatat keuntungan pada suku kedua 2026, disokong struktur kos lebih rendah, jualan domestik yang meningkat serta penghentian operasi yang mencatat kerugian di Myanmar,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Prestasi Kewangan Meningkat, RHB Kekal Optimistik

RHB Research berkata, pandangan positif itu disokong prestasi kewangan Texchem yang bertambah baik apabila keuntungan bersih teras (core PATAMI) kumpulan melonjak 196% kepada RM7 juta pada suku kedua 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi separuh pertama 2026, hasil Texchem meningkat 5.3% kepada RM596.9 juta, manakala keuntungan teras meningkat 147.7% kepada RM10.9 juta berbanding RM4.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut RHB Research, peningkatan prestasi itu didorong pertumbuhan menyeluruh dalam semua segmen perniagaan, termasuk peningkatan hasil, margin operasi yang lebih baik, pengurangan kos serta langkah pemindahan kos kepada pelanggan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Texchem tumbuh 8.8% kepada RM309.5 juta bagi 2QFY26 dengan untung meningkat 524%

 

Berikutan prospek pertumbuhan tersebut, RHB Research mengekalkan saranan Beli terhadap Texchem dengan sasaran harga RM1.39 sesaham berbanding harga semasa RM0.745.

 

Sasaran harga itu mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 85% selain jangkaan hasil dividen sekitar 5%. 

 

RHB Research menyifatkan penilaian semasa Texchem sebagai menarik kerana saham syarikat itu didagangkan pada kira-kira lima hingga enam kali nisbah harga kepada keuntungan (P/E) bagi tahun kewangan 2026.

 

Pelaburan Baharu Sokong Pertumbuhan Jangka Panjang

RHB Research turut menjangka pelaburan baharu Texchem akan membantu memperkukuh kapasiti operasi kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

Texchem merancang memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi pembelian mesin kejuruteraan polimer baharu dalam tempoh dua tahun akan datang, selain mengembangkan rangkaian restoran sebanyak 10 hingga 15 cawangan atau kiosk tambahan.

 

Dari segi unjuran kewangan, RHB Research menjangka keuntungan bersih teras Texchem meningkat kepada RM17 juta pada 2026, sebelum berkembang kepada RM22 juta pada 2027 dan RM28 juta pada 2028.

 

Namun, RHB Research mengingatkan beberapa risiko yang boleh memberi tekanan kepada prestasi syarikat termasuk kelemahan permintaan atau tempahan, peningkatan kos bahan mentah, turun naik harga bahan kimia serta perubahan kadar pertukaran asing.

 

Secara keseluruhan, RHB Research melihat pemulihan operasi Texchem yang berlaku secara menyeluruh, khususnya dalam segmen berkaitan semikonduktor, sebagai faktor utama yang menyokong prospek pertumbuhan kumpulan dalam tempoh sederhana hingga panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved