Permohonan elektrik Kuala Sat diterima Disember 2025 - TNB

Local
20 May 2026 • 9:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Permohonan elektrik Kuala Sat diterima Disember 2025 - TNB
TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei ini. Foto hiasan

KUANTAN - Permohonan penyambungan bekalan elektrik bagi sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut yang tular didakwa hidup hampir 13 tahun tanpa bekalan elektrik, hanya diterima melalui pada hujung Disember 2025.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari lalu bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan kerja di lokasi adalah juga tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan, termasuk dari aspek keselamatan, teknikal, serta pematuhan status tanah dan izinlalu.

"Susulan perkembangan terkini, TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei ini.

"Kerja-kerja telah bermula hari ini, dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei," kata kenyataan itu pada Rabu.

TNB memberitahu, bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dan meneliti perkara ini bagi memastikan kes seumpama ini dapat diuruskan dengan lebih teratur serta inklusif bersama pihak berwajib yang berkenaan pada masa hadapan.

“Kami memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas yang penting kepada kehidupan harian sesebuah keluarga,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, video tular yang memaparkan sebuah keluarga menahan konvoi Al-Sultan Abdullah dan dilihat memegang sepanduk tertera tulisan "Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap".

Difahamkan, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas mereka didakwa hidup bergelap tanpa bekalan elektrik sejak 13 tahun lalu akibat permohonan yang sering tertangguh.

Satu video berdurasi lebih lima minit dimuat naik di platform TikTok menerusi akaun @muhammadramadhan96 sebelum tular secara meluas di media sosial.

Baginda yang terkenal dengan sifat mesra rakyat kemudian meluangkan masa menurunkan cermin kenderaan bagi mendengar sendiri aduan dan masalah dihadapi mereka selain sempat bergambar bersama pasangan suami isteri serta seorang anak kecil keluarga itu.

Menjengah ke ruangan komen akaun TikTok terbabit, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu terhadap keperibadian baginda yang sanggup berhenti demi menyantuni rakyat marhaen.

 

 

View Original Article