KUANTAN - Sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat dekat Ulu Tembeling yang didakwa hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik akhirnya bakal menikmati kemudahan itu apabila kerja pemasangan infrastruktur akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Perkembangan itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah susulan isu berkenaan mendapat perhatian selepas keluarga terbabit menahan konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon bantuan tersebut.
Menurutnya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan sebanyak 33 batang tiang elektrik akan dipasang dan kerja penyambungan bekalan dijangka siap dalam masa terdekat.
“Kini masalah berkenaan telah selesai dan saya dimaklumkan TNB sudah menerima permohonan penduduk terbabit.
“Kelulusan juga sudah diperoleh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memasang tiang dan menyambung bekalan elektrik ke rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menjawab mengenai faktor kelewatan, Haris Salleh menjelaskan, perkara tersebut pernah dibangkitkan kepada TNB sebelum ini, namun dimaklumkan struktur kediaman berkenaan dibina di atas tanah kerajaan.
Beliau menambah, dalam keadaan tersebut adalah mustahil pihak berkuasa tidak membantu kemasukan infrastruktur jika ada permohonan, melainkan wujud keadaan yang membataskannya.
“Jadi ia dikategorikan sebagai tanah kerajaan, dalam keadaan itu, kita perlu lihat apa yang boleh dibantu mengikut peraturan sedia ada.
"Tapi, kita akan berbincang dengan Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengikut peraturan sedia ada," jelasnya.
Terdahulu, video tular yang memaparkan sebuah menahan konvoi Al-Sultan Abdullah dan dilihat memegang sepanduk tertera tulisan "Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap".
Difahamkan, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas mereka didakwa hidup bergelap tanpa bekalan elektrik sejak 13 tahun lalu akibat permohonan yang sering tertangguh.
Satu video berdurasi lebih lima minit dimuat naik di platform TikTok menerusi akaun @muhammadramadhan96 sebelum tular secara meluas di media sosial.
Baginda yang terkenal dengan sifat mesra rakyat kemudian meluangkan masa menurunkan cermin kenderaan bagi mendengar sendiri aduan dan masalah dihadapi mereka selain sempat bergambar bersama pasangan suami isteri serta seorang anak kecil keluarga itu.
Menjengah ke ruangan komen akaun TikTok terbabit, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu terhadap keperibadian baginda yang sanggup berhenti demi menyantuni rakyat marhaen.
