Permohonan Program Biasiswa Maxis 2023 kini dibuka kepada semua pelajar Malaysia
zulfadli
14/09/2023 - 15:42
KUALA LUMPUR 14 Sept - Selaras dengan komitmen untuk melabur dalam pembangunan bakat untuk negara melalui pendidikan, Program Biasiswa Maxis 2023 kembali dan permohonan kini dibuka kepada semua pelajar Malaysia.
Siswazah boleh memilih untuk memohon di bawah tiga kategori, Biasiswa Sarjana Muda Pemimpin Muda Maxis, Biasiswa Sarjana Muda Teknologi Maxis dan Biasiswa Sarjana Muda Wanita Teknologi Maxis.
Seramai 16 bakal pemegang biasiswa akan dipilih berdasarkan rekod prestasi akademik mereka, penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum, serta kemahiran kepimpinan dan interpersonal yang mantap. Pelajar digalakkan melayari https://bit.ly/2023MaxisSP untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelayakan dan cara permohonan.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Maxis, Natalia Navin berkata, dengan kemajuan pesat dalam teknologi seperti 5G, pihaknya menawarkan potensi kerjaya yang luas dan pelbagai prospek pekerjaan melalui program biasiswa tersebut.
"Ini merupakan peluang berharga untuk bakal pemimpin terutamanya dalam bidang telekomunikasi atau ruang teknologi, jadi kami menggalakkan para pelajar untuk mulakan proses permohonan mereka," katanya.
Program Biasiswa Maxis menawarkan bantuan kewangan dalam yuran pengajian dan faedah lain yang berkaitan dengan perbelanjaan sara hidup, pelbagai peluang latihan dengan Maxis dan syarikat gabungannya, pekerjaan dengan Maxis selepas tamat pengajian, dan peluang jaringan hubungan eksklusif.
Sejak diperkenalkan pada 2020, Program Biasiswa Maxis telah membiayai lebih 50 pelajar Malaysia di seluruh negara untuk meneruskan cita-cita pengajian tinggi mereka.

Ikuti @lifeatmaxis di Instagram untuk maklumat terkini mengenai Program Biasiswa Maxis dan majlis anugerah. - DagangNews.com



