Permohonan SABAR untuk kebenaran mencelah dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak ditolak

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 6:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Permohonan SABAR untuk kebenaran mencelah dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Sabah untuk menjadi pencelah dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak mengenai keabsahan perlembagaan serta pemakaian undang-undang persekutuan yang mengawal selia minyak dan gas di negeri itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk P. Ravinthran memutuskan bahawa Pemegang Amanah Berdaftar Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) tidak mempunyai sebarang kepentingan undang-undang secara langsung dalam petisyen itu.

“Keputusan atau hasil petisyen Kerajaan Negeri Sarawak terhadap responden (Petroliam Nasional Berhad atau Petronas dan Kerajaan Malaysia) tidak menjejaskan hak pemohon dalam saman pemula (yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu) atau rujukan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perlembagaan,” kata Nordin ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkenaan.

Beliau berkata sebaliknya, penglibatan SABAR hanya akan meluaskan skop berkaitan perkara yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak.

Selain itu, Nordin berkata petisyen berkenaan berada di bawah bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan dan terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.

Antaranya, SABAR perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu sebelum petisyen itu boleh didengar atau sebarang pengisytiharan mengenai keabsahan sesuatu undang-undang dibuat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu juga berkata SABAR tidak boleh memintas proses berkenaan dengan memfailkan permohonan sebagai pencelah.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan Petronas membantah permohonan SABAR manakala Kerajaan Negeri Sarawak menyokong.

SABAR memfailkan permohonan itu pada 18 Mei lepas atas alasan ia mempunyai kepentingan dari segi undang-undang untuk menyertai petisyen berkenaan kerana remedi yang dimohon dalam tindakan perundangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah sama seperti yang terdapat dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak.

Menerusi saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap Kerajaan Malaysia, SABAR mencabar ketidakselarasan Akta Pelantar Benua 1966, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Akta Laut Wilayah 2012 dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Sarawak telah memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Malaysia dan Petronas pada Februari lepas bagi memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan isu keabsahan perlembagaan serta pemakaian berterusan beberapa Akta Persekutuan ke atas negeri berkenaan.

Antara lain, Kerajaan Negeri Sarawak memohon deklarasi bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 yang digunakan di Sarawak adalah tidak berperlembagaan serta terbatal sejak awal.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac lepas membenarkan permohonan Petronas untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding bagi mencabar ketidakcekapan beberapa ordinan Sarawak yang mengawal selia minyak dan gas di negeri itu.

Syarikat minyak dan gas negara itu mencabar keupayaan legislatif Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk menggubal undang-undang tertentu dan mengisytiharkan beberapa undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak sebagai tidak sah.

Pada prosiding hari ini, peguam Roland Cheng Ho Wah dan Datuk Alex Decena mewakili SABAR manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi serta Nurhafizza Azizan hadir bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Kerajaan Negeri Sarawak diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Sri JC Fong manakala peguam Datuk Dr Cyrus Das dan Khoo Guan Huat mewakili Petronas. – BERNAMA

The post Permohonan SABAR untuk kebenaran mencelah dalam petisyen Kerajaan Negeri Sarawak ditolak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved