ALOR SETAR - Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu lesen premis perjudian bukan noktah kepada usaha negeri ini menghalang kegiatan berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan mengkaji dan meneliti ruang yang masih ada di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi menghalang pengeluaran serta pembaharuan lesen premis perniagaan perjudian.
"Kita tengoklah apakah ruang yang masih ada seperti yang disebut tadi di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk perancangan, pengezonan dan perkara yang bersabit dengan kuasa PBT yang dibenarkan Akta 171," katanya pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di sini pada malam Selasa.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perniagaan perjudian di negeri itu.
Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara berhubung permohonan berkenaan.
Mengulas perkara itu, Sanusi berkata, usaha itu perlu diteruskan kerana kegiatan perjudian memberi kesan kepada masyarakat termasuk apabila premis perjudian mudah dikunjungi orang Islam.
"Orang Islam pakai kopiah pun pergi beli nombor di kedai nombor, depa (mereka) boleh masuk beli walau tahu judi ini haram," ujarnya.
Beliau pada masa sama menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa terhadap kegiatan perjudian dalam talian yang beroperasi tanpa premis fizikal kerana bukan di bawah kuasa mereka.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kekalahan kerajaan negeri di mahkamah bukan bermakna perjuangan untuk menghalang perjudian di Kedah berakhir.
Menurutnya, masih terdapat ruang yang boleh diterokai kerajaan negeri menerusi kuasa PBT seperti diperuntukkan di bawah Akta 171, khususnya Seksyen 107.
"Pokoknya di negara kita ada tiga lapisan utama pemerintahan iaitu Ahli Parlimen yang membentuk Kerajaan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membentuk kerajaan negeri dan ahli majlis PBT.
"Kerajaan PBT terdiri daripada ahli majlis dan jumlahnya maksimum 24 orang. Mereka mempunyai kuasa yang boleh digunakan untuk membentuk dasar PBT," katanya.
Jelas Wan Rohimi berkata, kerajaan negeri perlu mengumpulkan semua ahli majlis untuk memikirkan kaedah terbaik menggunakan ruang yang masih ada bagi menghalang operasi premis perjudian.
"Gunalah setiap inci ruang yang dibolehkan di bawah Seksyen 107 Akta 171 untuk menyusahkan judi, buatlah macam mana cara pun supaya tauke-tauke judi berambus daripada negeri Kedah.
"Ini bukan noktah. Perjalanan kita untuk melaksanakan syariah memang sukar," katanya lagi.





