Pernah Tular 4 Tahun Lepas, Suspek Kes Bunuh Syed Muhammad Danial Diminta Bela Diri

20 Jul 2023 • 1:59 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Jika ada yang masih ingat, hampir empat tahun lalu, pernah tular satu rakaman video yang memaparkan dua orang lelaki bergaduh yang mana ia berpunca dari satu kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan kereta mangsa, Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek, Yew Wei Liang, menyebabkan berlakunya kejadian kejar mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Pergaduhan itu katanya berpunca dari rasa tidak puas hati mangsa yang keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek pula kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa hingga melanggar mangsa dan menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia.

image is not available

Lepas 4 tahun, bekas pekerja IT diperintah membela diri

Kes ini akhirnya hampir bertemu noktah selepas empat tahun apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tertuduh, Yew Wei Liang membela diri atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan.

Menurut Sinar Harian, hakim, Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap bekas pekerja IT itu di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah juga mendapati tertuduh belum melunaskan beban pembuktian, kerana keteranagn menunjukkan provokasi bermula apabila dia menyerang mangsa.

Mengenai isu mempertahankan diri, tertuduh bertindak melebihi haknya apabila berterusan melanggar mangsa walaupun ancaman telah dipatahkan dan mangsa sedang melarikan diri.

“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan dengan mengaplikasikan penilaian maksimum atas keseluruhan keterangan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan secara prima facie ke atas tertuduh,” kata hakim.

Tertuduh diminta membela diri terhadap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Wei Liang yang hadir dengan memakai baju T putih kelihatan tenang dengan jurubahasa memberi penerangan dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah memberi tertuduh tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Kedua, memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pembelaan atau ketiga, berdiam diri.

image is not available

Wei Liang walau bagaimanapun belum membuat keputusan dan memohon untuk berbincang dengan peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding bela diri bermula 16 dan 17 Ogos depan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.