Pernah Tular Bawa Isteri Strok Berniaga Air Balang, Warga Emas Meninggal Dunia 10 Bulan Selepas Pemergian Isteri Tercinta

20 Jul 2026 • 3:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Pernah Tular Bawa Isteri Strok Berniaga Air Balang, Warga Emas Meninggal Dunia 10 Bulan Selepas Pemergian Isteri Tercinta

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada Julai tahun lalu, kami ada berkongsi kisah seorang peniaga air balang, Ah Yauddin Ahmad yang setia menjaga isterinya meskipun pasangannya itu menghidap kencing manis dan strok.

Apa yang menjadi perhatian adalah warga emas berkenaan yang juga menghidap kencing manis serta darah tinggi tetap tidak meninggalkan isterinya, Roslina Yusof setiap kali berniaga malah kuat mendukung wanita berkenaan setiap kali keluar ke rumah.

Namun Oktober tahun lalu, media melaporkan isterinya meninggal dunia.

Warga Emas Tular Jaga Isteri Meninggal Dunia Kerana Jangkitan Kuman Di Paru-Paru & Kegagalan Organ

Terbaharu, Ah Yauddin yang berusia 64 tahun pula disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan kegagalan organ di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada Sabtu (18 Julai) lalu.

Lebih menyedihkan, warga emas itu pergi 10 bulan selepas pemergian isteri tercinta pada 24 Oktober tahun lalu akibat jangkitan kuman serta tekanan darah rendah.

Ah Yauddin Asalnya Terjatuh Ketika Nak Pergi Mendobi

Menurut anak tunggal pasangan berkenaan, Siti Nur Aliah, pada mulanya Ah Yauddin dibawa ke hospital selepas terjatuh di tangga sewaktu mahu pergi ke dobi di kediaman mereka yang terletak di Pangsapuri Meru Ehsan, Klang pada 11 Julai lalu.

“Doktor pada peringkat awal mendapati tiada sebarang kecederaan patah tulang.

“Bagaimana pun, pada Rabu lalu (15 Julai), ayah sekali lagi mengadu sakit sangat, baru bawa pergi hospital semula.

“Masa itulah doktor sahkan tulang paha kanan dia patah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Anak Dedah Paru-Paru Kanan Bapa Mula Merosot

Kongsi Siti Nur Aliah yang berusia 22 tahun, doktor kemudiannya memaklumkan keadaan paru-paru ayahnya itu sudah teruk pada keesokan harinya.

“Pada Sabtu (18 Julai) lalu, kira-kira jam 5 pagi, ayah mula sesak nafas dan diberikan bantuan oksigen.

“Pada jam 8 pagi, keadaan ayah semakin teruk sebelum doktor membuat keputusan memasukkan tiub pernafasan.

“Dari jam 9 pagi Sabtu, ayah sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.20 malam,” kongsinya.

Jenazah Allahyarham Ah Yauddin selamat dikebumikan pada pagi semalam (19 Julai) berhampiran pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Meru.

Anak Sukar Terima Pemergian Bapa Secara Mengejut

Mengulas lanjut mengenai pemergian bapa tercinta, Siti Nur Aliah mengakui masih sukar untuk menerima pemergian Ah Yauddin yang berlaku secara mengejut.

“Rasa macam tak kuat dan masih tak boleh terima kenyataan. Ayah pergi dalam keadaan yang langsung kami tak sangka.

“Pada mulanya ayah masuk hospital sebab patah kaki saja, tetapi beberapa hari kemudian doktor sahkan ada jangkitan kuman pada paru-paru.

“Kalau arwah ibu dulu saya tahu dia memang sudah lama sakit, jadi saya bersedia. Tetapi pemergian ayah terlalu mengejut.

“Sampai sekarang saya masih teringat-ingat dan sukar menerima kenyataan yang ayah sudah tiada,” katanya.

Anak Tinggal Dengan Ibu Saudara Buat Sementara Waktu

Jelas Siti Nur Aliah, dia akan tinggal bersama ibu saudaranya yang menetap berhampiran kediaman arwah bapa buat sementara waktu sebelum kembali menyelesaikan segala urusan berkaitan dengan arwah.

“Saya akan selesaikan dulu segala urusan ayah yang masih belum selesai seperti hutang atau apa-apa urusan lain.

“Selepas itu barulah saya cari kerja dan tinggal semula di rumah ayah,” katanya.

Sebelum ini, kisah Ah Yauddin menjadi tular kerana kesetiannya menjaga isteri yang tidak dapat bergerak akibat angin ahmar selain kudung kaki kiri kerana diabetes.

Arwah yang bekerja sebagai peniaga air balang sering membawa Allahyarhamah isterinya termasuk ke tapak pasar malam untuk berniaga pada setiap Sabtu meskipun terpaksa mendukung Roslina dari rumah di tingkat empat.

Malah, Siti Nur Aliah sebelum ini turut mendapat tawaran daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menyambung pengajian di GiatMARA dalam bidang bakeri.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Kagum Warga Emas Gigih Cari Rezeki & Jaga Isteri Strok Walau Hidap Sakit Buah Pinggang Tahap 5 [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Dr Asyraf Wajdi Tawar Anak Pakcik Jual Air & Jaga Isteri Strok Masuk GiatMARA Belajar Bakeri [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved