Pernah Tular Jawab Exam Online Atas Pokok, Veveonah Kini Bergelar Pelajar Perubatan

Entertainment
22 Dec 2024 • 11:18 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Masihkah anda ingat tentang kisah seorang pelajar universiti yang tular sekitar tahun 2021 selepas gadis itu terpaksa tinggal sementara di atas pokok untuk menjawab soalan peperiksaan dalam talian (online examination) sewaktu pandemik Covid-19?

Kita imbas semula kisah gadis tersebut yang dikenali sebagai Veveonah Musibin. Untuk pengetahuan semua, Veveonah terpaksa melakukan perkara tersebut kerana di kampungnya di Sabah itu, sukar untuk dapatkan talian internet yang stabil.

Jadi dia terpaksa berada di atas pokok untuk menjawab peperiksaan online itu kerana di situlah lokasi yang mempunyai sambungan data internet yang stabil.

image is not available

Kali ini kami mahu kongsikan perkembangan terkini Veveonah di mana kini, gadis ini telah bergelar pelajar perubatan di Management and Science University (MSU).

Memetik laporan New Straits Times, Veveonah telah pun tamat pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang sains marin dan difahamkan, Veveonah sepatutnya hadir ke konvokesyen UMS.

Namun, dia memutuskan untuk tidak hadir ke konvokesyen UMS tersebut kerana kini dia telah mulakan pengajiannya sebagai pelajar perubatan di MSU.

image is not available

Difahamkan, dia telah menerima tajaan untuk pulang ke kampung halamannya di Sabah sempena Krismas namun dia tidak dapat membeli satu lagi tiket kapal terbang untuk menghadiri konvokesyen tersebut berikutan harga yang mahal.

Meskipun Veveonah telah berjaya menamatkan pengajiannya di UMS dengan CGPA 3.46 dalam jurusan sains marin, namun minatnya adalah dalam bidang perubatan sejak tahun 2021 lagi.

Menurut Veveonah, impiannya dalam bidang sains marin mula berubah kerana pembelajaran terpaksa dilakukan secara dalam talian ketika Covid-19 sedangkan bidang sains marin memerlukan pembelajaran yang lebih praktikal.

Walau bagaimanapun, pelajar yang berusia 23 tahun ini tetap menamatkan pengajiannya dalam bidang sains marin terlebih dahulu untuk memenuhi kontrak biasiswa.

Jadi, sejak Oktober lalu, dia telah memulakan pengajiannya sebagai pelajar perubatan di MSU dan kini sedang menjalani proses untuk memohon tajaan biasiswa.

Selamat maju jaya diucapkan kepada Veveonah!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.