Perniagaan insurans Tune Protect kekal catat keuntungan, raih pertumbuhan premium 8.5% pada 3QFY26

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 6:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perniagaan insurans Tune Protect kekal catat keuntungan, raih pertumbuhan premium 8.5% pada 3QFY26 Image from: Perniagaan insurans Tune Protect kekal catat keuntungan, raih pertumbuhan premium 8.5% pada 3QFY26 amree26/11/2026 - 18:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Perniagaan teras insurans Tune Protect Group Berhad kekal menguntungkan pada suku ketiga 2026 dengan nisbah gabungan 93.9%, disokong peningkatan premium kasar bertulis (GWP) sebanyak 8.5% suku ke suku (QoQ).

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut pada Khamis, perkembangan positif berkenaan mencerminkan pertumbuhan secara berterusan segmen bukan perjalanan serta pemulihan perniagaan insurans perjalanan.

 

Hasil insurans kumpulan meningkat 2.5% kepada RM84.1 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding suku sebelumnya, manakala keputusan perkhidmatan insurans bersih kekal positif pada RM5.2 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, prestasi perniagaan teras kekal menguntungkan hasil sumbangan kukuh segmen bukan perjalanan dan tanda pemulihan berperingkat dalam segmen perjalanan.

 

Bagaimanapun, kumpulan merekodkan kerugian nilai saksama belum direalisasikan sebanyak RM16 juta susulan kelemahan pasaran bon global dan jangkaan kadar faedah lebih tinggi di Malaysia, sekali gus menjejaskan pendapatan pelaburan serta keuntungan suku berkenaan.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil insurans kumpulan susut 5.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM247 juta, manakala keputusan perkhidmatan insurans bersih berjumlah RM13.9 juta dengan nisbah gabungan 94.4%. Keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM5.9 juta," katanya.

 

Tune Protect How Kim Lian
HOW KIM LIAN

 

Segmen bukan perjalanan terus menjadi penyumbang kestabilan apabila GWP meningkat 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, dengan perniagaan motor mencatatkan peningkatan empat mata peratusan dalam nisbah tuntutan berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, GWP segmen perjalanan merosot 22 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan 25 peratus kapasiti penumpang dalam kalangan rakan kongsi syarikat penerbangan utama serta kesan pengukuhan ringgit. Namun, segmen itu menunjukkan pemulihan 16 peratus berbanding suku sebelumnya.

 

"Kumpulan turut memperluas rangkaian pengedaran serantau menerusi kerjasama Ticket2U di Thailand dan AirPaz di Filipina, selain memperkenalkan perlindungan gajet bersama rakan telekomunikasi tempatan serta memperluas tawaran insurans perjalanan melalui platform BJAK," jelasnya.

 

Bagi meningkatkan kestabilan pulangan, Tune Protect merancang mempelbagaikan portfolio pelaburan bernilai RM688.8 juta setakat 30 September 2026, yang ketika ini didominasi dana unit amanah pendapatan tetap, kepada gabungan aset pendapatan tetap, dana nilai aset bersih stabil serta tunai dan instrumen kecairan.

 

Menghadapi suku keempat 2026, kumpulan menjangkakan prestasi disokong musim puncak perjalanan, pertumbuhan berterusan segmen bukan perjalanan serta pemulihan sederhana dalam pulangan pelaburan, dengan tumpuan kepada pertumbuhan menguntungkan, disiplin pengunderaitan dan pengembangan produk bernilai tambah lebih tinggi. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved