
PETALING JAYA: Elridge Energy Holdings Berhad (Elridge) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 42.8 peratus kepada RM19.41 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM13.59 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 21.1 peratus kepada RM127 juta daripada RM104.84 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM25.66 juta berbanding RM17.61 juta, selepas mengambil kira cukai berjumlah RM6.25 juta.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 49.9 peratus kepada RM59.37 juta berbanding RM39.60 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil bagi tempoh itu turut meningkat 22.2 peratus kepada RM389.50 juta daripada RM318.65 juta.
Pendapatan sesaham asas kumpulan ialah 0.97 sen bagi suku itu dan 2.97 sen bagi tempoh sembilan bulan, berbanding masing-masing 0.68 sen dan 1.98 sen pada tahun sebelumnya.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Oliver Yeo berkata, prestasi positif kumpulan pada suku ketiga disokong peningkatan hasil perniagaan tempurung isirung sawit (PKS) serta margin produk yang lebih baik berbanding suku sama tahun lalu.
“Prestasi inji turut disokong penjanaan aliran tunai operasi yang lebih kukuh apabila tunai bersih daripada aktiviti operasi mencecah RM70.60 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tabun kewangan 2026 berbanding RM6.07 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kami kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi dan pengembangan perniagaan melangkaui produk bahan api biojisim sedia ada.
“Pelaburan dalam pengeluaran karbon teraktif, selain peningkatan kapasiti pengeluaran PKS, merupakan langkah penting untuk meningkatkan nilai sumber biojisim dan mempelbagaikan aliran hasil kumpulan.
“Pada masa hadapan, kami akan terus memberi penekanan kepada kecekapan operasi dan pelaksanaan strategi secara berdisiplin bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, PKS kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan dengan menjana RM122.30 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026, merangkumi kira-kira 96.3 peratus daripada jumlah hasil berbanding RM93.79 juta pada suku sama tahun lalu.
“Hasil perniagaan itu sebahagian besarnya disumbangkan pelanggan dari Jepun, Malaysia dan Thailand.
“Prestasi lebih baik kumpulan turut didorong peningkatan hasil PKS dan margin produk yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan keuntungan kasar sebanyak 34.3 peratus kepada RM35.74 juta berbanding RM26.62 juta.
“Margin keuntungan kasar turut meningkat kepada 28.15 peratus daripada 25.39 peratus pada suku sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, hasil daripada penjualan pelet kayu menyusut kepada RM4.70 juta berbanding RM11.05 juta pada suku ketiga tahun sebelum, susulan permintaan pelanggan yang lebih rendah,” ujarnya. – UTUSAN
The post Elridge catat untung bersih RM19.41 juta bagi suku ketiga appeared first on Utusan Malaysia.






