
USAHA memberikan baucar buku, memberikan impak yang tinggi kepada pelajar untuk membudayakan kepelbagaian ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam membentuk generasi yang berintelek tinggi.
Melalui inisiatif Galakan Membaca yang diterajui oleh Perpustakaan Negara Malaysia, lebih daripada 56,000 program berkaitan pembacaan telah dilaksanakan.
Inisiatif ini adalah langkah dalam merealisasikan visi Negara Pembaca 2030, di mana amalan membaca menjadi asas kepada transformasi sosial dalam pembangunan modal insan yang kritikal serta berilmu, supaya dapat kembali berbakti menyebarkan kebaikan kepada negara yang tercinta.
Bagi menarik minat anak muda minat dalam penerokaan ilmu pengetahuan, kerajaan telah menyuntik elemen inovasi iaitu Pusat Pembelajaran Imersif iaitu melibatkan penggunaan teknologi interaktif canggih seperti realiti maya (VR), hologram atau robozone.
Ini bukan sahaja menunjukkan bahawa perpustakaan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi malah ia menyediakan kelainan dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang interaktif, berimpak tinggi serta memperkasa literasi digital dalam kalangan belia.
Ini secara tidak langsung mengubah persepsi bahawa perpustakaan adalah tempat yang tradisional, membosankan sebaliknya dengan perabot adaptif, zon siber yang dinaiktaraf dengan capaian internet berkelajuan tinggi serta ruang pembelajaran yang ceria, menjadikan perpustakaan menjadi magnet atau daya tarikan sivik yang kuat, mampu menghubungkan masyarakat melalui tindakan serta interaksi teknologi.
Dalam memperkasakan hubungan bersama komuniti, Satu Perpustakaan Desa Satu Produk memfokuskan kepada penghasilan identiti unik atau produk komersial di setiap perpustakaan desa bagi membantu komuniti luar bandar sentiasa mendapatkan pendedahan serta capaian maklumat dalam memperkukuh intelek sosial serta pembangunan ekonomi.
Perpustakaan desa sebagai agen perubahan yang sebenar membuka ruang dan peluang untuk komuniti sentiasa cuba membina daya kekuatan melalui penyediaan ilmu pengetahuan agar masyarakat luar bandar menghayati serta meningkatkan semangat bahawa mereka juga pejuang pembangunan intelektual untuk negara.
Perpustakaan juga bertindak sebagai peneraju kelestarian dan literasi hijau, seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG), perpustakaan kini bertindak sebagai hab kesedaran alam sekitar.
Program seperti Citizen Science melibatkan masyarakat dalam pendokumentasian biodiversiti dan pemeliharaan warisan alam.
Sebagai contoh, Pustaka Negeri Sarawak aktif dalam program literasi hijau yang mendidik komuniti tentang perubahan iklim dan biodiversiti melalui aktiviti hands-on.
Usaha ini menunjukkan perpustakaan adalah platform untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab terhadap masa depan bumi.
Perpustakaan bukan sekadar gudang buku, tetapi merupakan simbol tamadun, identiti nasional dan kemajuan manusia.
Sokongan padu kerajaan melalui transformasi digital dan pembangunan inklusif telah memberikan nafas baharu kepada institusi ini.
Marilah kita menyemarakkan budaya membaca dan memanfaatkan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat demi mengangkat martabat intelek negara di persada dunia. – UTUSAN
MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Penolong Pustakawan,
Perpustakaan Sultan Abdul Samad
Universiti Putra Malaysia
The post Perpustakaan bukan lagi sekadar gudang buku appeared first on Utusan Malaysia.




