Persaingan China beri tekanan kepada prospek sektor sarung tangan Malaysia, kata Phillip Capital

24/04/2025 - 11:28
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 24 April - Phillip Capital mengambil pendirian berkecuali terhadap sektor sarung tangan, susulan tekanan harga yang berterusan, terutamanya daripada syarikat China yang giat meluaskan pasaran di luar Amerika Syarikat (AS) ekoran pelaksanaan Tarif Perdagangan AS.
Firma penyelidikan itu menurunkan saranan daripada 'overweight' kepada 'neutral' kerana prospek pemulihan jangka pendek dilihat masih tidak menentu sehingga 2026.
"Kami percaya pengeluar sarung tangan global akan cuba memanfaatkan tempoh kelonggaran tarif selama 90 hari untuk menaikkan harga jualan di pasaran AS," katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Capital menyatakan, walaupun permintaan jangka pendek mungkin disokong oleh aktiviti pembelian semula stok, tekanan masih wujud akibat lambakan bekalan global dan kekangan untuk menaikkan harga.
"Kami jangka penambahan kapasiti akan dilakukan secara berhati-hati dan jumlah pesanan akan terus turun naik sepanjang tahun kewangan 2025 hingga 2026 kerana ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan masih belum selesai," jelasnya.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pengeluar tempatan sedikit lega apabila harga bahan mentah dan gas asli semakin stabil.
Namun, penurunan kos itu dijangka tidak cukup besar untuk memberi kesan ketara terhadap margin keuntungan kerana tekanan harga jualan masih berterusan, terutama di pasaran bukan AS di mana syarikat China bersaing dengan harga yang sangat rendah.
"Pemerhatian kami menunjukkan pembeli segera meminta potongan harga setiap kali kos input turun, menyebabkan margin semakin tertekan," katanya lagi.
Walaupun harga sarung tangan Malaysia kini lebih kompetitif di AS selepas dikenakan tarif 145% ke atas produk dari China, jurang antara harga jualan dan kos masih kecil, sekitar RM4.39 hingga RM8.79 bagi setiap 1,000 helai.
Nilai ringgit juga kekal stabil sekitar RM4.44 sejak pertengahan tahun lalu, tetapi firma itu menjangka ia mungkin mencecah RM4.30 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun, menunjukkan risiko penyusutan berbanding kadar semasa.
Berdasarkan analisis sensitiviti Phillip Capital, setiap kenaikan 1% dalam nilai ringgit boleh menjejaskan keuntungan bersih Hartalega sebanyak 18%, Kossan sebanyak 11% dan Top Glove sebanyak 5%.
Bagaimanapun, kebanyakan syarikat mempunyai mekanisme pelarasan harga jualan bagi mengimbangi kesan turun naik kadar pertukaran.
Kossan dipilih sebagai saham pilihan utama dalam sektor berkenaan, walaupun dengan sasaran harga lebih rendah iaitu RM2.24 sesaham berbanding RM3.15 sebelum ini.
Ini kerana kecekapan operasi, asas kewangan kukuh serta kedudukan tunai bersih yang membolehkan pembayaran dividen khas.
Firma itu turut memaklumkan, Kossan memiliki kedudukan tunai bersih terbaik dalam kalangan pesaing, iaitu RM1.6 bilion, berbanding Hartalega (RM800 juta) dan Top Glove (RM200 juta).
Dari segi nisbah tunai bersih kepada permodalan pasaran, Kossan mencatatkan 33%, diikuti Hartalega (11%) dan Top Glove (7%).
Phillip Capital Research mengekalkan saranan 'tahan' ke atas Hartalega dengan sasaran harga RM2.27 (turun daripada RM2.80) dan Top Glove pada 83 sen (daripada RM1.44).
"Walaupun keuntungan mungkin bertambah dalam masa terdekat, persaingan sengit dan ketidaktentuan dasar dijangka terus mengekang pertumbuhan jumlah jualan dan margin keuntungan.
"Antara risiko utama ialah harga jualan yang tidak menentu, permintaan yang pulih perlahan dan tindakan China menambah kapasiti secara agresif," tambahnya. - DagangNews.com
standard


