Country View yakin prospek FY25, disokong pelaburan di Iskandar Malaysia

24 Apr 2025 • 11:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Country View yakin prospek FY25, disokong pelaburan di Iskandar Malaysia

image is not available

24/04/2025 - 11:54

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 April - Country View Bhd yakin prospek tahun kewangan 2025 (FY25) kekal positif, dipacu oleh potensi besar Iskandar Malaysia sebagai hab ekonomi utama, hasil projek kemudahan berskala besar dan minat pelabur asing yang semakin meningkat.

Syarikat itu berkata, ia berada dalam kedudukan kukuh untuk menyesuaikan diri dengan landskap pasaran yang berubah-ubah dan terus memberi nilai kepada para pemegang saham.

"Bagi FY25, pasaran hartanah di Johor Bahru dijangka terus berkembang, didorong oleh pembangunan kemudahan yang rancak, pelaburan asing dan tempatan yang meningkat serta sokongan kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Dengan pembangunan utama tertumpu di kawasan Iskandar Malaysia, Country View berkata, syarikat berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang sambil kekal komited terhadap pembangunan mampan dan bertanggungjawab.

"Projek kemudahan utama seperti Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) yang sedang berjalan, dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan dan aktiviti ekonomi apabila siap kelak," jelasnya.

Tambah syarikat itu, inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) juga akan merangsang permintaan terhadap hartanah kediaman, komersial dan industri di Iskandar Malaysia.

Selain itu katanya, minat pelabur asing terutamanya dari Singapura, terus menyokong pertumbuhan sektor hartanah di kawasan tersebut.

"Dengan harga hartanah yang lebih rendah berbanding Singapura, Iskandar Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pemilikan rumah," ujarnya.

Bagaimanapun, Country View juga mengambil maklum risiko luar seperti ketidaktentuan ekonomi global yang boleh menjejaskan harga komoditi dan bahan binaan, turun naik mata wang, inflasi, kadar faedah serta sentimen pelabur.

"Kami akan terus berwaspada, mengurus kewangan secara berhemah dan menambah baik penawaran produk termasuk kemudahan yang berkualiti, reka bentuk mampan serta melancarkan projek yang lebih tepat pada masanya," katanya.

Bagi FY25, syarikat merancang untuk melancarkan baki unit mampu milik di bawah skim Rumah Mampu Milik Johor dan Perumahan Komuniti Johor A di Taman Nusa Sentral. - DagangNews.com

standard