
Kota Kinabalu: Penubuhan Persatuan Alumni Mr Kaamatan Sabah (PAMRKS) diharapkan dapat memperkukuh kesinambungan usaha budaya Mr Kaamatan atau Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) dalam memberi inspirasi kepada komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).
Naib Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (Maceos) Datuk Paduka Rehan Rahim yang merasmikan pelancaran itu berkata, penubuhan PAMRKS menandakan satu pencapaian penting bukan sekadar sebagai himpunan bekas peserta tetapi sebagai usaha kolektif untuk mengekalkan dan meraikan kekayaan warisan budaya Sabah.
Beliau memuji inisiatif oleh pemenang BTK 2024 Bonyventure Hee yang mengasaskan penubuhan persatuan itu sebagai sebahagian daripada manifestonya dan menyifatkan sebagai satu demonstrasi jelas kepimpinan yang berwawasan serta berkekalan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Manifesto yang kuat bukanlah satu persembahan sekali sahaja atau senarai semak, tetapi sesuatu yang meninggalkan legasi berpanjangan dan anda (Bonyventure) telah berjaya melakukannya,” katanya pada Ahad.
Beliau mengakui cabaran dalam menubuhkan persatuan sebegini, termasuk usaha menyatukan individu yang pelbagai, membentuk struktur organisasi yang kukuh serta menyelaraskan misi kumpulan dengan keperluan budaya semasa.
Namun begitu katanya semangat baharu telah muncul didorong oleh perpaduan, kebanggaan budaya dan keinginan yang kuat untuk menyumbang semula kepada komuniti.
Rehan memberi contoh Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) sebagai model bagaimana organisasi alumni boleh terus memperkasakan belia dan wanita dalam mengangkat budaya tradisional serta kepimpinan.
“Saya berharap PAMRKS juga dapat berbuat demikian dengan memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk berbangga dan mengekalkan nilai-nilai warisan KDM,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa BTK bukan sekadar pertandingan tetapi satu platform penting untuk mengetengahkan bakat serta meraikan budaya dan tradisi masyarakat peribumi.
Beliau menyatakan harapan agar PAMRKS bekerjasama rapat dengan jawatankuasa penganjur BTK untuk memastikan kesinambungan misi budaya ini merentasi generasi.
Tambahnya lagi persatuan berkenaan boleh menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu dalam mengekalkan semangat Kaamatan.
Beliau turut menggesa PAMRKS untuk melangkaui sambutan budaya dengan menganjurkan program-program pembangunan kepimpinan belia, pembangunan peribadi dan kemajuan pendidikan.
Rehan turut menyatakan bahawa pelancaran persatuan terbabit menandakan permulaan kepada satu gerakan budaya yang lebih luas.
Terdahulu Pengerusi Penaja PAMRKS Bonyventure Hee menyatakan penghargaan yang mendalam kepada Rehan kerana sudi merasmikan pelancaran tersebut dan menyifatkannya sebagai sokongan kukuh terhadap pembangunan belia dan identiti budaya.
Bonyventure berkata, peranan Rehan dalam Maceos sejajar dengan matlamat PAMRKS untuk membina rangkaian alumni yang aktif dan berimpak tinggi demi pemerkasakan komuniti pada masa hadapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Penganjur BTK Casey Jovial atas usaha menstruktur semula platform BTK yang bukan sahaja mencungkil bakat tetapi mengeratkan ikatan yang berpanjangan dalam kalangan peserta.
“Ramai antara kami tertanya-tanya apa yang berlaku selepas pertandingan dan kini kami ada jawapannya,” katanya merujuk kepada PAMRKS sebagai rumah baharu untuk para alumni.
Beliau menggambarkan penubuhan persatuan ini sebagai impian sejak 2008 yang akhirnya menjadi kenyataan dengan visi dan misi yang jelas.
Visinya adalah untuk menjadi organisasi berasaskan kepimpinan yang memperjuangkan budaya dan tradisi komuniti KDM. Misinya pula adalah bagi memastikan platform Mr Kaamatan terus relevan dalam menyemai nilai budaya dan mengukuhkan hubungan alumni.
Bonyventure menjelaskan bahawa asas penubuhan persatuan ini tidak dilakukan secara tergesa-gesa tetapi dibina dengan teliti selama enam bulan melalui perbincangan perlembagaan dan pemilihan kepimpinan yang inklusif.
Beliau menegaskan bahawa PAMRKS bukan pesaing kepada pertandingan BTK, tetapi badan pelengkap yang diwujudkan untuk menyokong bukan menggantikan acara utama itu.
Matlamatnya adalah memastikan bekas peserta berkembang menjadi pemimpin komuniti, duta budaya dan teladan positif kepada generasi muda.
“Jangan jadikan ini hanya pelancaran di atas kertas tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” katanya kepada para alumni sambil menyeru mereka untuk mengambil tanggungjawab terhadap perkembangan persatuan terbabit.
Beliau turut berterima kasih kepada bekas pemenang Mr Kaamatan Kota Marudu Allen James kerana menjadi alumni pertama yang tampil sebagai penaja dan penyokong potensi persatuan ini.
Bonyventure berkata beliau mengambil masa untuk melaksanakan manifestonya bagi memastikan asas yang dibina adalah kukuh, inklusif dan benar-benar mewakili aspirasi alumni.
Beliau turut melibatkan bekas peserta, penaja, dan pemegang taruh komuniti bagi memastikan PAMRKS menjadi entiti penyatuan yang bermakna.
Sementara itu Casey mendedahkan bahawa setiap daerah akan menganjurkan pertandingan BTK masing-masing bermula tahun depan.
Beliau turut mengumumkan bahawa sukan tradisional akan diwajibkan dalam pertandingan peringkat daerah menandakan babak baharu dalam penglibatan budaya.
Casey menyatakan harapan agar PAMRKS menjadi rakan penganjur, khususnya untuk aktiviti peringkat daerah manakala jawatankuasa induk BTK menumpukan pada pertandingan peringkat negeri.
Beliau memuji PAMRKS kerana mempunyai visi yang jelas, kreativiti dan semangat yang seiring dengan objektif BTK untuk memperkasakan belia dan memelihara akar budaya Sabah.
“Kerjasama antara PAMRKS dan jawatankuasa BTK akan menjadi penting dalam memupuk generasi akan datang supaya berbangga dengan warisan dan identiti mereka,” katanya.


