Persefahaman Pas-BN hadapi 'bahaya’ politik

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 8:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Persefahaman Pas-BN hadapi 'bahaya’ politik
Ahmad (kanan) dan Idris (tengah) mengibarkan bendera Pas ketika nyayian lagu parti itu. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Pas melalui Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan untuk menjalinkan persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan serta akan datang di Melaka selepas menilai wujud ancaman politik yang disifatkan sebagai “bahaya”.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, pendekatan itu diambil Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas menilai situasi politik semasa dan melihat keperluan untuk mewujudkan persefahaman antara parti Islam bagi menghadapi ancaman berkenaan.

“Bahaya ini tidak boleh dihadapi kecuali umat Islam, parti Islam, Melayu-Islam mesti bersama untuk menghalang kebangkitan ataupun kemaraan musuh Islam.

“Dalam konteks negara demokrasi, kalau kita tidak dapat menyatupadukan umat Islam dan parti Melayu-Islam ini, kemungkinan kita tidak dapat mempertahankan kekuatan Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Tumpat di Kampung Sedar di sini pada Jumaat.

Turut hadir; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang merasmikan jentera pilihan raya itu.

Ahmad berkata, Pas memerlukan gabungan, pakatan dan persefahaman bagi menghadapi golongan berbahaya ini selain mengambil pendekatan yang lebih ringan kemudaratannya.

“Kalau tidak ada kesedaran dalam kalangan umat Islam dan juga parti-parti Melayu-Islam, mungkin kita akan terjebak dengan suasana yang sangat-sangat merugikan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seluruh jentera Pas perlu terus bergerak dan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Saya yakin, semua sudah membuat persiapan di peringkat kawasan untuk menghadapi perjalanan ini.

“Setiap jentera perlu memastikan persiapan dibuat dengan lebih baik supaya parti itu dapat menghadapi PRU16 dengan lebih tersusun,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved