'Hubungan BN-PH suam-suam kuku, PRU mungkin diawalkan' - Idris

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Hubungan BN-PH suam-suam kuku, PRU mungkin diawalkan' - Idris
Idris (dua dari kanan) bersalaman dengan penyokong Pas ketika menghadiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Tumpat di Kampung Sedar pada Jumaat. Foto: ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT - Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kini dilihat ‘suam-suam kuku’ menjadi antara petunjuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 mungkin diadakan lebih awal, kata Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, perkembangan hubungan antara dua parti utama dalam kerajaan itu perlu diberi perhatian dan beberapa perkembangan politik semasa termasuk keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, selain itu, kenyataan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin retak.

“Yang kedua, senario hubungan antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional agak suam-suam kuku.

“Ada dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin, dia kata Anwar dan Zahid makin retak dan kepercayaan di tahap paling rendah,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Tumpat di Kampung Sedar di sini pada Jumaat.

Idris berkata, pandangan berhubung kedudukan PH itu turut pernah disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan bahawa kedudukan PH kini berada dalam keadaan berat sekiranya sokongan rakyat gagal dipulihkan.

Beliau berkata, keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan turut menunjukkan perkembangan yang wajar diberi perhatian dalam menilai kekuatan kedua-dua gabungan berkenaan.

“Apabila pilihan raya di negeri Johor, kita lihat daripada 56 kerusi, Barisan Nasional menang 48 kerusi, manakala Pakatan Harapan hanya menang lapan kerusi.

“Baru-baru ini pula di Negeri Sembilan, Pakatan Harapan hanya menang 11 kerusi daripada 36, manakala Barisan Nasional dan gabungan lain menang 25 kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) turut berpotensi menambahkan ketegangan antara BN dan PH.

Beliau mempersoalkan keputusan menjadikan laporan RCI berkenaan sebagai sesi penerangan Menteri, bukannya dibentangkan untuk perbahasan di Dewan Rakyat.

“Yang ketiga, baru-baru ini RCI, iaitu penerangan Menteri sedangkan ini merupakan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Sebaliknya dia hanya menjadi penerangan Menteri.

“Ini menyebabkan makin panas hubungan antara Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Idris turut melihat perkembangan dalaman DAP sebagai antara faktor yang perlu diperhatikan menjelang pilihan raya, termasuk keputusan parti itu berhubung kedudukannya dalam kerajaan.

Katanya, Kongres Kebangsaan Khas DAP yang berlangsung akan menentukan pendirian parti berhubung sama ada terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Perwakilan daripada akar umbi mengadakan kongres menentukan sama ada duduk dalam kerajaan atau tidak.

“Kami ramalkan duduk dalam kerajaan, mana boleh mereka keluar daripada kerajaan, mereka sekarang ada lima menteri dan tujuh timbalan menteri daripada 40 Ahli Parlimen,” katanya.

Menurut Idris, perkembangan berkaitan Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini juga menjadi antara perkara yang perlu diperhatikan kerana ia memerlukan kelulusan di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Beliau berkata, gabungan beberapa perkembangan politik itu menunjukkan PRU ke-16 mungkin semakin hampir dan Pas perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Idris sebelum itu berkata, antara senario yang juga boleh membawa kepada pilihan raya lebih awal ialah tempoh matang penggal DUN Melaka pada 27 Disember 2026 serta bermulanya sidang pertama DUN atau Parlimen Sarawak pada 14 Februari 2027.

“Pas perlu kukuhkan gerak kerja pilihan raya bagi memastikan kemenangan di kawasan Parlimen terus dipertahankan dan menyumbang kepada usaha Pas mengekalkan pemerintahan di Kelantan serta kembali menguasai Putrajaya,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved