
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada minggu lalu, tular di media sosial video pementasan kontroversi melibatkan lima orang individu yang mempersendakan prinsip Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum.
Video biadab tersebut nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang yang mahu tindakan sewajarnya diambil susulan penularan rakaman terbabit serta menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Malah, dia turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera berhubung isu berkenaan.
3 Daripada 5 Pelakon Telah Ditahan Polis Bagi Bantu Siasatan, Seorang Pelakon Di UK, Seorang Lagi Telah Meninggal Dunia
Terbaharu, tiga daripada lima pelakon video pementasan teater itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, ketiga-tiga individu yang merupakan warga tempatan dan terdiri daripada seorang lelaki serta dua wanita telah ditahan pada Isnin (21 September) lalu di Selangor dan Johor.
“Ketiga-tiga mereka sudah diberi jamin polis selepas keterangan selesai dirakam dan pemeriksaan mendapati tiada kandungan pementasan berkenaan dalam telefon bimbit atau gajet mereka.
“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Pementasan Teater Dilakukan Secara Tertutup & Berlangsung Pada Tahun 2018
Jelas Kumar, hasil siasatan mendapati pementasan teater berkenaan telah berlangsung secara tertutup pada tahun 2018 di sebuah pusat seni persembahan di Pulau Pinang.
Ketiga-tiga pelakon terbabit masing-masing kini telahpun berusia 28, 29 dan 47 tahun.
“Polis tidak memohon perintah reman terhadap mereka selepas mendapat kerjasama dan pemeriksaan peranti tidak menemukan bahan berkaitan pementasan berkenaan.
“Kita mengambil keterangan mereka dan memberikan jamin polis (dibebaskan) kerana kita mendapat kerjasama serta sudah memeriksa peralatan mereka.
“Memang tiada barang ditemukan, jadi tiada kewajaran untuk mereka direman,” katanya.
Tambah Kumar lagi, rakaman video berkenaan tidak tular malah tiada laporan polis dibuat mengenainya sewaktu pementasan itu berlangsung pada tahun 2018.
Polis Kesan Individu Tular Semula Rakaman Pementasan Teater
Susulan itu, Kumar menjelaskan pihaknya kini sedang mengesan individu yang menularkan semula rakaman pementasan terbabit termasuk meneliti alamat Protokol Internet (IP) berkaitan.
“Sekarang ada orang yang menularkan perkara yang berlaku pada 2018 dan kita sedang mengesan orang yang menularkan video itu.
“Hasil siasatan terhadap tiga individu yang ditahan juga mendapati tiada kandungan atau adegan pementasan itu dalam telefon bimbit atau gajet mereka,” ujarnya.
Pusat Seni Persembahan Juga Telah Ditutup, Pengarah Pementasan Telah Tinggalkan Negara
Tambah Kumar lagi, pementasan yang berlangsung secara tertutup itu telah melibatkan beberapa kumpulan dan kesemua mereka dipercayai diberi masa selama 10 sehingga 15 minit untuk membuat persembahan.
“Siasatan awal polis menunjukkan terdapat pemilihan bagi menentukan persembahan terbaik dalam acara berkenaan.
“Pusat seni persembahan berkenaan juga sudah ditutup, manakala pengarah pementasan itu dikenal pasti sebagai warga United Kingdom (UK) yang sudah meninggalkan negara ini.
“Pengarah pementasan itu bukan warga tempatan dan semakan terakhir mendapati dia sudah pulang (ke UK),” jelasnya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan serta nasihat lanjut,” katanya.
Selain Aaron, video tersebut turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, yang menyifatkan ia sebagai satu pelanggaran adab dan kemungkaran sosial selain merosakkan ikatan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Jelas Zulkifli, penganjur sewajarnya membuat permohonan maaf secara terbuka manakala pihak berkuasa perlu membuat siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa berkompromi kepada mana-mana pihak yang menghina negara ini.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Dakwaan Persenda Agama Hindu: Saifuddin Puji Tindakan 3 Penyampai Radio EraFM Mohon Maaf
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Kecam Audio Twitter Space ‘Kutuk Hadi Awang’ Seakan Persenda Agama [Video]






