Tiga pelakon teater persenda Rukun Negara telah disiasat polis

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 1:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga pelakon teater persenda Rukun Negara telah disiasat polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga daripada lima pelakon yang terlibat dalam pementasan teater pada 2018 susulan penularan semula video yang didakwa mempersendakan Rukun Negara baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tiga individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita itu ditahan beberapa hari lalu di Selangor dan Johor bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan pemeriksaan terhadap peralatan serta gajet mereka selesai dilakukan.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, tiga telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan diberi jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

“Seorang lagi telah meninggal dunia, manakala seorang dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya ketika ditemui media selepas sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 3.0 di Dewan Theatrette, Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Kumar, tiga individu yang ditahan masing-masing kini berusia 47, 28 dan 29 tahun, manakala pengarah pementasan tersebut merupakan warga United Kingdom yang tidak lagi berada di negara ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati pementasan berdurasi kira-kira 10 minit itu berlangsung secara tertutup di Penang Performing Arts Centre, Pulau Pinang pada 2018.

Katanya, ketika pementasan berlangsung lapan tahun lalu, perkara tersebut tidak tular dan polis juga tidak menerima sebarang laporan mengenainya.

Bagaimanapun, rakaman berkenaan kembali tersebar di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Laporan pertama mengenai video berkenaan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 18 September lalu.

Kumar berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit dan gajet milik tiga pelakon yang ditahan juga tidak menemukan sebarang kandungan berkaitan pementasan tersebut.

“Sekarang kita sedang mengesan individu yang menularkan video itu. Kita mahu melihat antaranya alamat IP dan perkara tersebut masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut.- KOSMO! ONLINE

The post Tiga pelakon teater persenda Rukun Negara telah disiasat polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved