Bersatu Kelantan kekal relevan

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bersatu Kelantan kekal relevan
Kamarudin
Image from: Bersatu Kelantan kekal relevan
Bersatu Kelantan kekal relevan dalam landskap politik negeri ini meskipun berdepan tindakan tujuh ketua bahagian meninggalkan parti.

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan kekal relevan dalam landskap politik negeri ini meskipun berdepan tindakan tujuh ketua bahagian meninggalkan parti, kata Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor.

Menurut beliau, kedudukan Bersatu tidak wajar dipersoalkan hanya berdasarkan perkembangan terbaharu itu kerana parti berkenaan sudah mempunyai infrastruktur, keahlian dan barisan pemimpin yang dibina sejak sembilan tahun lalu.

Jelasnya, Bersatu kini hanya perlu memperkukuhkan semula struktur sedia ada berbanding parti yang masih baharu dan perlu membina kekuatan dari peringkat awal.

"Sudah pastilah pihak yang tidak senang dengan Bersatu akan bertanya soalan macam itu. Tetapi kita sudah ada infrastrukturnya. Kita sudah sembilan tahun berbanding parti yang baru tubuh kelmarin dan baru lulus pendaftaran sahaja.

"Kita sudah ada infrastruktur, ahli pun sudah ada, tinggal mengisi sahaja. Jadi ini lebih senang daripada hendak mencari ahli baharu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kelantan di sini, Isnin.

**media[3639669]**

Kamarudin berkata, Bersatu Kelantan juga mempunyai barisan pemimpin dengan latar belakang dan pengalaman berbeza yang boleh digembleng bagi memperkukuhkan semula parti.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan proses pemulihan Bersatu Kelantan kini hampir mencapai 100 peratus susulan pelantikan tujuh ketua bahagian (penaja) baharu.

Ujarnya, sebelum pelantikan itu, tahap pemulihan parti dianggarkan sekitar 50 peratus, namun kini hampir lengkap dan hanya menunggu gerak kerja di peringkat bahagian diteruskan.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Kamarudin berkata, jentera parti perlu sentiasa bersedia tanpa mengira sama ada Bersatu bergerak solo atau bersama gabungan lain.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai bentuk kerjasama politik Bersatu pada PRU16 ketika ini kerana perkara itu berkait dengan dasar dan keputusan kepimpinan pusat.

"Apa pun, bergerak solo atau bersama, yang penting petugas dan jentera kita kena bersedia.

"Kalau solo pun jentera kena berjalan dan kalau bersama pun kena berjalan juga, yang penting kena bersedia," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved