
Pertama Di Malaysia, Aplikasi Bank Digital Ada Penunjuk Kiblat & Zikir “Counter”
Kebiasaannya, aplikasi perbankan digital hanya menawarkan fungsi asas seperti pemindahan wang, pengimbasan kod QR, permohonan produk perbankan serta ciri keselamatan akaun.
Fungsi-fungsi ini sememangnya memudahkan urusan kewangan harian pengguna dan menjimatkan masa, kerana tidak perlu lagi beratur di kaunter bank atau mesin ATM.
Namun tahukah anda, terdapat satu aplikasi bank digital tempatan yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perbankan, malah dilengkapi ciri-ciri mesra Muslim?
Aplikasi ATLAS yang dibangunkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad dan dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai lalu, tampil dengan kelainan apabila turut menawarkan beberapa fungsi istimewa untuk pengguna beragama Islam.
Berikut antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan:
1. Fungsi Azan & Waktu Solat
Aplikasi ini menyediakan notifikasi azan sebagai peringatan masuk waktu solat mengikut lokasi pengguna.

2. Penunjuk Arab Kiblat
Pengguna boleh mengetahui arah kiblat dengan lebih tepat menggunakan fungsi penunjuk arah kiblat yang terbina dalam aplikasi.

3. Kalendar Islam & Peristiwa Penting
ATLAS dilengkapi kalendar Hijri yang menyenaraikan peristiwa penting dalam kalendar Islam.
Paparannya mirip senarai peringatan (reminder), memudahkan pengguna merancang ibadah atau aktiviti berdasarkan tarikh-tarikh tersebut.

4. Pengira Zikir Digital
Menariknya, aplikasi ini turut menyediakan pengira zikir bagi pengguna yang mengamalkan sunnah mulia ini sebagai salah satu aktiviti harian.
Pengguna boleh merekod kiraan zikir hanya dengan menekan skrin telefon serta menetapkan sasaran harian mengikut keinginan.

5. Koleksi Doa Harian
Turut disediakan ialah senarai doa-doa pilihan yang boleh diamalkan pengguna pada bila-bila masa.

Selain daripada fungsi yang telah dinyatakan, aplikasi ATLAS turut menawarkan ciri tambahan berasaskan keperluan gaya hidup Muslim seperti penetapan matlamat harian berteraskan nilai Islam, serta perkhidmatan khusus bagi pengurusan ibadah zakat dan korban.
Dengan gabungan pelbagai fungsi ini dalam satu platform, pengguna tidak lagi perlu memuat turun aplikasi berasingan atau melakukan carian di laman sesawang untuk memenuhi keperluan mereka.
Inisiatif ini merupakan satu langkah inovatif yang wajar dipuji oleh institusi perbankan tempatan dalam mendekatkan teknologi dengan kehidupan harian umat Islam.
Sumber: ATLAS Bank Muamalat, Bernama
The post Pertama Di Malaysia, Aplikasi Bank Digital Ada Penunjuk Kiblat & Zikir “Counter” appeared first on Siakap Keli.

