Pertama Di Malaysia, Tiket Tayangan Mechamato Versi Mesra Sensori Dijual Mulai Hari Ini

29 Dec 2022 • 3:36 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pihak produksi Mechamato menerusi Facebooknya mengumumkan penjualan tiket Mechamato Movie (2022) bagi versi mesra sensori akan mula dijual pada hari ini, 29 Disember 2022.

Bagaimanapun, tayangan versi ini hanya diadakan pada 15 Januari 2023 (Ahad), bermula jam 11.00 pagi. Harga tiket pula dijual dengan tanda harga RM9 sekeping.

Selain itu, tayangan versi mesra sensori ini juga hanya akan ditayang di empat lokasi sahaja, iaitu GSC 3 Damansara, GSC Kuantan City Mall, GSC AEON Falim Ipoh dan GSC The Mall, Southkey JB.

Untuk makluman, tayangan mesra sensori merupakan salah satu versi tayangan yang dikhaskan bagi individu-individu yang mengalami autisme dan sebagainya, untuk menghayati sesi tayangan dengan keadaan yang lebih terbuka.

Justeru, cahaya dalam panggung wayang akan dimalapkan dan runut bunyi akan dipasangkan pada tahap yang lebih rendah daripada kebiasaan. Pihak panggung wayang juga turut tidak menayangkan segala iklan acah mahupun iklan sebelum tayangan filem.

Tambahan pula, bilangan tempat duduk juga akan dikurangkan untuk memberikan ruang yang lebih luas kepada para penonton, khususnya bagi golongan kanak-kanak istimewa.

image is not available
Kredit: GSC

Sepanjang sesi tayangan ini, para penonton dibenarkan untuk bangun dan melakukan gerak geri seperti menari, berjalan, menyanyi dan sebagainya untuk membuatkan mereka merasa selesa.

Bukan itu sahaja, ramai penonton yang tidak menghidapi autisme juga lebih suka untuk menonton tayangan filem versi mesra sensori kerana ia disifatkan sebagai salah satu peluang untuk mengukuhkan pemahaman dan hubungan bersama kanak-kanak istimewa ini.

Sumber: Mechamato via Facebook, GSC