Pertemuan Dengan Trump Buka Ruang, Kaji Semula Perbincangan Hubungan 2 Hala - PM

WorldPolitics
27 Oct 2025 • 4:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini membuka ruang untuk kerajaan meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mencakupi kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keamanan serantau.

Menurut beliau, semua agenda itu disentuh sebelum Trump berlepas ke Tokyo, Jepun pagi tadi, sekali gus mengakhiri lawatan rasminya ke Malaysia.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza, yang menjadi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jelas Perdana Menteri, Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan prinsip saling menghormati. 

Katanya, hubungan kedua negara itu juga akan memberi penekanan kepada kepentingan bersama dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat.

Trump, yang tiba di Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin serantau lain.

Antara lain, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan yang telah berlarutan sekian lama.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi serantau, pendalaman kerjasama ekonomi, serta menangani cabaran global termasuk keamanan dan kestabilan di rantau Asia-Pasifik.

Dalam perkembangan lain, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva mengisytiharkan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi ahli penuh BRICS.

“Saya belajar dalam hidup bahawa tingkah laku manusia sentiasa diambil kira; itu yang utama, dan selebihnya adalah perkara sampingan.

“Awak tanya saya sama ada saya mahu Malaysia menjadi ahli penuh BRICS. Baiklah, saya ingin katakan bahawa Malaysia akan menerima sokongan daripada Brazil untuk menjadi ahli penuh BRICS,” kata Lula pada sidang media.

Malaysia mula menyatakan minat untuk menyertai BRICS pada pertengahan tahun lalu, apabila Anwar menegaskan bahawa objektif blok tersebut selaras dengan komitmen Malaysia terhadap penglibatan multipolar dan tadbir urus global yang inklusif.

Negara ini secara rasmi mengemukakan permohonan pada Julai 2024 dan disahkan sebagai rakan rasmi BRICS pada 1 Januari 2025 ketika Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan, Rusia.

Terdahulu pada September, Anwar berkata, China juga telah berikrar untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi ahli penuh BRICS.

“Langkah itu akan memperkukuh lagi peranan negara di peringkat global,” katanya. – Getaran, 27 Oktober 2025