
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjelaskan mengenai kekeliruan cuti umum sempena Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi satu kenyataan, JTKSM berkata Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu daripada lima hari kelepasan berbayar yang wajib diberikan kepada pekerja oleh majikan sektor swasta yang berada di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan sebagaimana peruntukan di bawah subperenggan 60D (1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan tidak boleh diganti pada hari lain.
Manakala Cuti Hari Wesak merupakan hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan bagi mencukupkan baki enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja sebagaimana perenggan 60D(1)(a) Akta 265. Seterusnya, proviso perenggan 60D(1)(b) menetapkan hari kelepasan am yang jatuh pada hari rehat atau mana-mana cuti kelepasan yang ditetapkan, maka hari kerja berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am gantian berbayar.






