
Wesak Ahad & Keputeraan Agong Isnin, JTKSM Jelaskan Tentang Cuti Umum Hujung Mei Ini
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjelaskan mengenai kekeliruan cuti umum sempena Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi satu kenyataan, JTKSM berkata Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu daripada lima hari kelepasan berbayar yang wajib diberikan kepada pekerja oleh majikan sektor swasta yang berada di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan sebagaimana peruntukan di bawah subperenggan 60D (1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan tidak boleh diganti pada hari lain.
"Manakala Cuti Hari Wesak merupakan hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan bagi mencukupkan baki enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja sebagaimana perenggan 60D(1)(a) Akta 265.
"Seterusnya, proviso perenggan 60D(1)(b) menetapkan hari kelepasan am yang jatuh pada hari rehat atau mana-mana cuti kelepasan yang ditetapkan, maka hari kerja berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am gantian berbayar," katanya.
Justeru, JTKSM berkata bagi majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai hari rehat mingguan bagi pekerjanya dan memilih Hari Wesak sebagai hari kelepasan am berbayar hendaklah memberikan 1 Jun 2026 (Isnin) sebagai hari kelepasan am berbayar (Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong) dan tidak boleh diganti.
Baca juga:
2026: Senarai Lengkap Tarikh Cuti Umum & Cuti Sekolah Malaysia
Kalendar 2026: Senarai Lengkap Cuti Umum & Hari Pelepasan Am Malaysia
"2 Jun 2026 (Selasa) pula sebagai hari kelepasan am berbayar bagi menggantikan Hari Wesak yang jatuh pada hari rehat mingguan (31 Mei 2026).
"Walau bagaimanapun atas persetujuan pekerja, hari kelepasan am berbayar ini boleh diganti dengan hari lain sebagaimana proviso subseksyen 60D (1A) Akta 265," katanya lagi.
Dalam pada itu, mana-mana pekerja (bergaji RM4,000 sebulan dan ke bawah serta pekerja yang dinyatakan dalam perenggan 2 Jadual Pertama Akta 265) yang diarah oleh majikannya supaya bekerja pada hari kelepasan am layak menerima kadar gaji bagi hari kelepasan am sebagaimana yang ditetapkan dalam subseksyen 60D(3) Akta 265.
