
SHAH ALAM: Pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang sepatutnya dilakukan di Mahkamah Sesyen di sini semalam ditangguhkan kepada 24 September ini.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas dimaklumkan tertuduh, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana masalah jantung.
“Saya juga memikirkan bahawa pilihan untuk mahkamah pergi ke hospital dan membacakan pertuduhan adalah tidak praktikal pada masa ini.
“Saya fikir perkara yang wajar dilakukan oleh mahkamah adalah membenarkan tertuduh berehat di hospital dan menetapkan tarikh seterusnya” katanya.
Adi Azuan adalah antara individu yang ditahan, disiasat dan didakwa di mahkamah rentetan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Terdahulu, peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili Adi Azuan memberitahu anak guamnya dimasukkan ke wad sejak 31 Ogos lalu dan kini perlu menjalani beberapa siri pemantauan elektrokardiogram (ECG).
“Saya dimaklumkan tertuduh tidak dapat hadir kerana menjalani rawatan jantung. Kami telah serahkan kepada mahkamah satu salinan surat doktor yang menyatakan antara lain bahawa beliau telah ditahan sejak 31 Ogos lalu.
“Menurut Pakar Perunding Kanan Kardiologi PPUM, tertuduh mengalami sindrom koronari akut (acute coronary syndrome) yang memerlukan pemantauan elektrokardiogram (ECG),” katanya yang turut memaklumkan isteri tertuduh hadir di mahkamah semalam.
Hakim Awang Kerisnada kemudian memanggil isteri tertuduh, Datin Zureen Zainuddin bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai keadaan kesihatan suaminya.
“Buat masa sekarang dia sedang menjalani angiogram di PPUM, dia perlu melakukan itu sebab sakit dada yang dialaminya semakin kerap sejak minggu lalu,” katanya. – UTUSAN
The post Pertuduhan bekas COO TH ditangguh ke 24 September appeared first on Utusan Malaysia.





