
KUALA LUMPUR: Dua bekas pengurus THP Bina Sdn. Bhd. yang dikaitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat berjumlah RM72,000.
Nasahruddin Ahmad, 56, dan Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam prosiding berasingan.
THP Bina adalah anak syarikat pembinaan yang dimiliki sepenuhnya oleh TH dan pendakwaan mahkamah rentetan daripada Laporan RCI TH.
Di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Nasahruddin didakwa sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina yang diamanahkan wang hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Fourth Wave Sdn Bhd yang terlibat dalam projek pembangunan kompleks pejabat di Presint 3 Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015 di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Azura Alwi pula, bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina, Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat bersama Nasahruddin melakukan pecah amanah tersebut pada tarikh dan tempat saman.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal.
Ketika berhujah berhubung jaminan bagi kedua-dua kes, Irna Julieza berkata, kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan. Pihak pendakwaan turut mencadangkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran pada 1 hari bulan setiap bulan.
“Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi yang berkemungkinan terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.
Muhammad Naqib Aiman ketika berhujah bagi pihak Nasahruddin memberitahu jumlah jaminan yang dicadangkan memandangkan anak guamnya hanya berniaga kedai makan dengan pendapatan RM3,000 sebulan, menanggung empat orang anak yang mana dua daripadanya masih bersekolah dan mempunyai penyakit darah tinggi dan slip disc. – UTUSAN
The post RCI TH: 2 bekas pengurus didakwa pecah amanah appeared first on Utusan Malaysia.






