Perubahan kepada model bina dulu, jual kemudian boleh beri kesan kepada kos hartanah, pemaju kecil - REHDA

11 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perubahan kepada model bina dulu, jual kemudian boleh beri kesan kepada kos hartanah, pemaju kecil - REHDA Image from: Perubahan kepada model bina dulu, jual kemudian boleh beri kesan kepada kos hartanah, pemaju kecil - REHDA liza11/08/2026 - 17:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Cadangan kerajaan untuk beralih kepada model Bina-Kemudian-Jual (Build-Then-Sell atau BTS) dalam tempoh 2027 hingga 2035 perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan tekanan terhadap kos pembangunan dan kemampuan pemaju kecil serta sederhana.

 

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata, perubahan daripada sistem Jual-Kemudian-Bina (Sell-Then-Build atau STB) kepada BTS bukan sekadar melibatkan cara rumah dijual, sebaliknya boleh memberi kesan kepada pembiayaan, aliran tunai pemaju dan harga rumah. 

 

Presidennya, Datuk Zaini Yusoff berkata, perkara itu perlu diberi perhatian ketika kerajaan melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2026-2035 supaya perubahan yang diperkenalkan tidak menimbulkan kesan yang tidak dijangka kepada pasaran perumahan.

 

Beliau berkata, pemaju kecil dan sederhana antara pihak yang berpotensi berdepan cabaran lebih besar kerana mereka mungkin tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menanggung kos keseluruhan projek sehingga rumah siap.

 

“Sebarang perubahan asas terhadap sistem perumahan perlu mengambil kira kesannya terhadap kos pegangan, pembiayaan, aliran tunai, harga rumah dan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

STB Masih Relevan Dalam Peralihan Kepada BTS

Menurut Zaini, sistem STB tidak seharusnya diketepikan sepenuhnya sekiranya BTS diperkenalkan kerana model sedia ada itu telah digunakan dalam pembangunan lebih 6.5 juta unit rumah.

 

Justeru, REHDA berpandangan kedua-dua model boleh terus wujud secara bersama, bergantung kepada keupayaan pemaju dan keadaan pembangunan.

 

Katanya, peralihan kepada BTS perlu disokong mekanisme pembiayaan serta peraturan yang sesuai supaya pemaju mempunyai ruang untuk menyesuaikan operasi mereka dengan keperluan sistem baharu.

 

Pada masa sama, proses tersebut perlu membabitkan rundingan dengan pemaju, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaannya mengambil kira keadaan sebenar industri.

 

REHDA berkata pendekatan secara berperingkat itu juga penting untuk memastikan usaha meningkatkan perlindungan pembeli rumah tidak membawa kesan sebaliknya, khususnya dalam bentuk peningkatan harga rumah atau pengurangan bekalan.

 

REHDA Sokong Perancangan Perumahan Lebih Menyeluruh

Dalam perkembangan sama, REHDA menyokong beberapa hala tuju yang dibawa menerusi Dasar Perumahan Negara 2026-2035, termasuk usaha menggunakan data dengan lebih meluas dalam perancangan sektor perumahan.

 

Zaini berkata, dasar berkenaan turut menyediakan pendekatan yang lebih pelbagai ke arah pemilikan rumah, selain menekankan hubungan antara pembangunan perumahan dengan pengangkutan serta kemudahan asas.

 

Menurut beliau, kesemua aspek itu penting bagi membentuk ekosistem perumahan yang lebih tersusun dan memenuhi keperluan masyarakat pada masa akan datang.

 

Beliau menyifatkan Dasar Perumahan Negara 2026-2035 sebagai rangka kerja yang positif dan menyeluruh untuk memperkukuh sektor perumahan Malaysia.

 

“Secara keseluruhan, Dasar Perumahan Negara 2026-2035 adalah rangka kerja positif dan komprehensif dalam memperkukuh ekosistem perumahan Malaysia dan kami kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan ke arah pelaksanaan yang berkesan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved