
PETALING JAYA: Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 perlu memberi penekanan kepada perancangan perumahan berasaskan data, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Presidennya, Datuk Zaini Yusoff berkata, ia termasuk penggunaan Analitik Data Raya serta unjuran keperluan perumahan mengikut lokaliti, bekalan sedia ada, unit tidak terjual, jenis kediaman, kategori pendapatan dan harga.
Katanya, pihaknya sejak sekian lama memperjuangkan penubuhan sistem data perumahan yang komprehensif dan berpusat, selain tepat serta mampu memberikan gambaran semasa mengenai permintaan di sesuatu lokasi.
“Data yang lebih baik akan membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan dengan lebih tepat, khususnya dalam memastikan rumah mampu milik disediakan di lokasi dan pada harga yang menepati permintaan sebenar.
“Langkah itu juga dapat mengurangkan ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan serta mengawal peningkatan unit tidak terjual,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Rehda menyambut baik pelancaran DRN 2026-2035 sebagai kerangka penting dalam menentukan hala tuju sektor perumahan negara.
Menurut Zaini, tema “Memanusiakan Perumahan” selari dengan pendirian Rehda bahawa perumahan bukan sekadar pembinaan struktur, sebaliknya perlu menyediakan kediaman yang berkualiti, mampu milik, selesa dan mampan untuk rakyat.
“Rehda turut mengalu-alukan pengiktirafan dasar itu terhadap keperluan memperluas kaedah pemilikan rumah, termasuk Skim Sewa untuk Milik, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Pemilikan Bersama dan pinjaman gadai janji kadar tetap jangka panjang.
“Akses kepada pembiayaan kekal antara cabaran utama yang dihadapi bakal pembeli rumah.
“Justeru, kami mengalu-alukan penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel dan inklusif, khususnya bagi isi rumah berpendapatan sederhana yang mungkin tidak layak menyertai program perumahan mampu milik, namun masih berdepan kekangan kemampuan di pasaran terbuka,” katanya.
Selain itu, Rehda menyokong hala tuju lebih luas DRN dalam menggalakkan pembangunan kejiranan yang selesa didiami serta integrasi lebih baik antara perumahan dan pengangkutan.
“Ia juga merangkumi pembaharuan bandar, peningkatan standard perumahan serta ekosistem penyampaian perumahan yang lebih responsif.
“Cadangan mengintegrasikan dasar perumahan dan pengangkutan, termasuk Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) juga adalah tepat pada masanya bagi memastikan kediaman mempunyai hubungan lebih baik dengan kawasan pekerjaan, pengangkutan awam dan kemudahan asas,” ujarnya. – UTUSAN
The post Dasar perumahan baharu perlu data komprehensif, berpusat appeared first on Utusan Malaysia.






