CSA: Bina kestabilan politik, fokus pembangunan negara

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CSA: Bina kestabilan politik, fokus pembangunan negara
R Yuneswaran

KUALA LUMPUR – Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Persekutuan dan parti pembangkang perlu dilihat sebagai langkah membina kestabilan politik serta memberi ruang kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negara.

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, tawaran CSA kepada parti pembangkang bukan perkara baharu, sebaliknya keterbukaan itu sudah ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal pentadbiran kerajaan Madani.

"Bagaimanapun, selepas hampir empat tahun, hanya kini sebuah parti pembangkang, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tampil menyatakan kesediaan untuk memeterai CSA dengan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

R Yuneswaran berkata, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara.

Menurutnya, ia turut mencerminkan keterbukaan Kerajaan Madani dalam membina ruang kerjasama politik yang lebih progresif, melangkaui perbezaan parti serta kepentingan politik sempit.

"Dalam sebuah negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan tuntutan pembangunan, kestabilan politik merupakan antara prasyarat penting untuk memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat," katanya.

R Yuneswaran berkata, negara tidak boleh selama-lamanya terperangkap dalam polemik dan persaingan politik kerana tanggungjawab mentadbir serta memenuhi harapan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, politik mempunyai tempat dan waktunya, namun ketika ini semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan negara.

"Keutamaan juga perlu diberikan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

"Akhirnya, rakyat tidak menilai kita berdasarkan sejauh mana kita berpolitik, tetapi berdasarkan sejauh mana kita mampu menyelesaikan masalah mereka dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved